MULAI 2 Jun ini, syarikat penjagaan haiwan peliharaan akan dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan asas penjagaan, fisioterapi serta khidmat pemulihan haiwan bagi mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan haiwan.
Langkah ini sejajar pengumuman Pasukan Bertindak Antara Kementerian yang mengumumkan semalam kebenaran penyambungan semula aktiviti perniagaan secara beransur-ansur.
Oleh itu menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam kenyataannya hari ini, perkhidmatan berkaitan haiwan akan dibenarkan untuk menyambung semula secara beransur-ansur.
Syarikat-syarikat ini bagaimanapun tidak perlu memohon pengecualian sebelum meneruskan operasi.
Perkhidmatan tidak penting lain dan perniagaan, seperti khidmat penjagaan haiwan peliharaan, penitipan, penginapan dan penjualan haiwan peliharaan, akan kekal ditutup buat masa ini.
Satu pendekatan berperingkat diperlukan untuk membolehkan perniagaan disambung semula dengan cara yang selamat, sedang pelonggaran langkah-langkah sedia ada dilakukan dengan berhati-hati dan mengikut penyesuaian setelah tempoh pemutus rantaian jangkitan berakhir.
Semua penyedia perkhidmatan yang menyambung semula operasi mesti mengadakan langkah-langkah pengurusan yang selamat bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan tahap kebersihan, serta mengadakan temujanji berjarak dan mengadakan pembahagian pasukan petugas.
Penyedia khidmat yang meneruskan operasi tanpa langkah keselamatan yang perlu, boleh didenda dan diarah untuk menghentikan operasi.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman NParks.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg