Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyarikat setempat tawar khidmat bergerak cas kenderaan elektrik
Syarikat setempat tawar khidmat bergerak cas kenderaan elektrik
Syarikat setempat tawar khidmat bergerak cas kenderaan elektrik
SEBUAH syarikat setempat telah mula menawarkan khidmat mengecas bergerak bagi kenderaan elektrik (EV).
Ia dikatakan sebagai khidmat pertama sedemikian di Singapura.
Khidmat oleh syarikat Power Up Tech (P.Up) itu disasarkan kepada pemilik EV yang mungkin tidak mempunyai akses mudah kepada tempat mengecas tetap.
Setiap lawatan mengambil masa selama 30 minit sehingga sejam untuk memastikan EV itu mempunyai bateri sehingga 80 peratus.
Daripada segi harga, syarikat itu mempunyai tiga pakej yang perlu dibayar dahulu dan ia bermula daripada harga 73 sen kepada 88 sen bagi setiap jam kilowatt.
Sebagai perbandingan, khidmat mengecas pantas biasa di Shell berharga 55 sen bagi setiap jam kilowatt.
P.Up mula menguji khidmat mengecas bergeraknya sejak Mac dengan pelbagai pemilik buatan dan model EV.
Selama ini, pemilik EV membuat pesanan bagi khidmat itu sama ada menerusi Facebook atau WhatsApp syarikat tersebut.
Ekoran jenis teknologi bateri bagi EV hari ini, kelajuan mengecas mula perlahan secara mendadak bagi 20 peratus terakhir kapasiti bateri itu.
Terdapat juga kes di mana ia mengambil masa yang lama untuk memastikan bateri itu dicas daripada sifar hingga 80 peratus.
Sistem sedia ada P.Up mempunyai kapasiti 52 jam kilowatt, dengan kelajuan tinggi keupayaan mengecas DC.
Pengecas DC mempunyai alat penukar di dalam pengecas itu sendiri.
Syarikat itu berkata, bergantung pada jenis EV, sistem itu boleh mengecas sehingga dua kenderaan sebelum ia perlu dicas semula.
Sistem itu mempunyai kedua-dua palam pengecas Combo-2 DC yang juga merupakan alat pengecas awam biasa serta penghubung pengecas Chademo yang jarang digunakan.
Ia hanya digunakan oleh beberapa model EV termasuk kereta Lexus UX300 terkini dan beberapa model EV Nissan Leaf.
Buat masa ini, syarikat itu sudah mula mencari huraian untuk mendapatkan lebih banyak kapasiti.
Secara berasingan, pengedar kereta Hyundai, Komoco Motors telah mempunyai huraian bagi pengecas bergerak sejak 2018.
Namun ia tidak punya kapasiti mengecas penuh.
Sebaliknya, ia hanya dapat memberikan khidmat pemulihan sahaja bagi membantu EV yang terkandas dengan ketandusan bateri, mempunyai kuasa yang sekadar mencukupi untuk tiba ke destinasi seterusnya atau sekurang-kurangnya ke tempat pengecas EV terdekat.
