HASRAT sebuah keluarga untuk berpindah ke rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang baru diubah elok menjelang Mei tidak kesampaian setelah syarikat ubah elok yang digunakan mereka lesap dengan keadaan rumah terbengkalai.
Dalam catatan Facebook oleh Ayda Ayn pada Selasa (16 Mei), yang tidak menamakan syarikat ubah elok tersebut, beliau menjelaskan rumah salah seorang anggota keluarganya terjejas dek syarikat renovasi rumah telah menghilangkan diri.
Syarikat tersebut lesap dan menyepikan diri sejak 2 Mei 2023 dan percubaan untuk menghubungi mereka tidak berhasil setelah tiada maklumat lanjut diberikan.
Catatan itu menambah harga kos ubah elok itu amat tinggi dan sebahagian besar bayaran telah dibuat namun hanya 10 peratus hingga 20 peratus kerja ubah elok telah diselesaikan.
Beliau berkata kerja-kerja pemasangan wayar telah dilakukan juruelektrik dikeluarkan semula setelah disyaki bayaran belum dilunaskan pihak kontraktor.
Kipas di dinding dan pendingin hawa daripada pemilik rumah sebelum ini yang berada dalam keadaan baik turut disyaki dicuri oleh syarikat ubah elok itu.
Tambahan juga, rumah tersebut belum dicat, bilik-bilik, dapur dan kerja-kerja memasang paip belum disiapkan.
Beliau berkata laporan polis telah dibuat berkaitan hal ini.
Oleh demikian, beliau ingin meminta bantuan orang ramai untuk “menaja kerja ubah elok tertentu atau... menyumbang untuk rumah tersebut”.
Catatan itu telah menarik perhatian ramai warganet dan dalam satu catatan berasingan sehari kemudian, beliau berkata beliau tidak menjangkakan respons masyarakat umum, di mana ada yang telah menghubungi untuk menyalurkan perkhidmatan mereka.
Berita Harian sedang mendapatkan maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg