Peluang untuk terus menimba ilmu bukan hanya untuk kanak-kanak, malah penting bagi setiap lapisan masyarakat termasuk keluarga dan warga lanjut usia.

Demikian kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, semasa menghadiri acara Raikan Ilmu@Heartlands (Nee Soon) di Yishun Town Square pada 5 September.

“Perayaan Raikan Ilmu@Heartlands di Nee Soon ini merupakan peluang untuk kita mendekati masyarakat dan menggalakkan mereka untuk terus menimba ilmu seumur hidup.

“Bukan sahaja bagi kanak-kanak tetapi juga bagi keluarga-keluarga kita dan bagi mereka yang lanjut usia,” kata Anggota Parlimen GRC Nee Soon itu.

Acara dua hari anjuran Yayasan MENDAKI (Mendaki) pada 5 dan 6 September dengan kerjasama M³@Nee Soon dan Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA) itu menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk bengkel interaktif dan reruai masyarakat.

Dr Syed berkata penglibatan badan masyarakat penting dalam usaha menggalakkan budaya pembelajaran dalam masyarakat.

“Kita juga dapati bahawa kepentingan ilmu bukan sahaja terletak pada usaha MENDAKI ataupun M³@Nee Soon, malah ia merupakan satu keinginan bagi semua badan masyarakat.

“Hanya dengan gabungan tenaga masyarakat dan juga akar umbi, dapatlah kita merealisasikan keinginan ini untuk meraikan ilmu bersama,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Encik Muhammad Nuriman Mohd Yusof, 42 tahun berkata acara itu memberi peluang kepada anak-anak meneroka aktiviti di luar rutin harian mereka.

“Ia penting untuk mereka melihat apa yang ada, selain daripada kegiatan biasa yang mereka lakukan, dan dari ini mungkin ada yang lain yang boleh menarik minat mereka untuk mencuba pengalaman,” katanya.