PENGUASA Kewangan Singapura (MAS) telah melancarkan duit syiling $10 baru bagi memperingati ulang tahun ke-100 mendiang Encik Lee Kuan Yew, Perdana Menteri pertama Singapura, pada Isnin.
Menurut MAS dalam satu kenyataan, syiling ini memberi penghormatan kepada wawasan strategik, keberanian dan semangat teguh Encik Lee yang mengubah Singapura daripada pelabuhan perdagangan serantau kepada hab pengilangan, perniagaan dan kewangan global.
LKY100, syiling peringatan yang berwarna emas, dibuat daripada aluminium gangsa dan mempunyai diameter 30 milimeter, lebih besar daripada syiling Siri Ketiga yang kini dalam edaran.
Menurut MAS, satu permukaan syiling ini akan memaparkan potret Encik Lee dan Bendungan Marina di latar depan sebagai gambaran visi beliau untuk membina takungan air tawar dalam bandar dan mengukuhkan ketahanan air Singapura.
Latar belakangnya pula memaparkan latar langit Raffles Place, bersama dengan dua bangunan warisan, Hotel Fullerton dan Galeri Nasional Singapura.
Di permukaan sebelah, syiling itu memaparkan Singapura dan dua imej terpendam yang memaparkan tahun kelahiran Encik Lee pada 1923 dan ulang tahun kelahirannya yang ke-100, 2023.
Permohonan bagi syiling LKY100 dibuka pada Isnin dan akan ditutup pada 9 Jun.
Ia boleh dilakukan di laman go.gov.sg/lkycoin-order.
Menurut MAS, permohonan dibuka untuk warga Singapura dan penduduk tetap sahaja.
Pemohon perlu memberi nombor pengenalan mereka dan telefon bimbit, serta menyatakan cawangan bank pilihan mereka - DBS Bank/POSB, Bank OCBC, UOB, Bank of China atau Maybank - untuk mengambil syiling tersebut.
Mereka akan dimaklumkan melalui SMS sekiranya permohonan mereka diterima.
Setiap pemohon boleh memohon sebanyak lima syiling sahaja.
Namun, sekiranya terdapat permintaan yang tinggi, pemohon dijamin untuk menerima sekurang-kurangnya satu syiling.
Tiada sebarang bayaran pendahuluan dikenakan tetapi pemohon perlu membayar $10 untuk setiap syiling semasa menerimanya di bank.
Pemberitahuan SMS dihantar sekali lagi sekiranya syiling boleh diambil.
MAS juga menekankan bahawa semua pemberitahuan SMS berkenaan syiling LKY100 tidak akan meminta sebarang pembayaran pendahuluan atau sebarang pautan yang boleh ditekan.
Maklumat lanjut tentang tempahan, peruntukan dan pengambilan syiling LKY100 akan disediakan pada Ogos atau September, tambah MAS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg