SEKITAR 20 bulan selepas operasinya digantung, Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi terus tidak beroperasi bagi penumpang hingga sekarang sedang jumlah trafik udara kekal sedikit berbanding sebelum pandemik Covid-19.
Pengarah perhubungan pemasaran dan korporat Changi Airport Group (CAG), Encik Dennis Yim, berkata Lapangan Terbang Changi merancang membuka semula operasi Terminal 2 secara bertahap, sejajar dengan pemulihan trafik udara.
"Lapangan Terbang Changi bersedia memenuhi permintaan sedang (sektor) perjalanan udara terus pulih," ujarnya, menjawab soalan Berita Harian (BH).
CAG menggantung operasi Terminal 2 dan Terminal 4 Lapangan Terbang Changi sejak Mei 2020 menyusuli pandemik Covid-19 yang menyebabkan kemerosotan besar permintaan bagi pengangkutan udara.
Ketika mengumumkan langkah menggantung operasi Terminal 2 itu di Parlimen pada 6 April 2020, mantan Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, berkata operasinya akan digantung selama 18 bulan mulai 1 Mei 2020.
Menurutnya, langkah tersebut akan menjimatkan kos bagi pengendali lapangan terbang, peruncit, pesawat serta pengendali khidmat darat di lapangan terbang.
Lebih penting lagi, beliau berkata ia juga membolehkan kerja peningkatan di Terminal 2 dipercepat.
Terminal 4 pula digantung operasinya sejak 16 Mei namun tiada garis masa yang ditetapkan bagi pembukaan semula terminal tersebut ketika itu.
Kini, kedua-dua terminal masih ditutup bagi operasi penumpang dan tidak pasti bila akan dibuka semula.
Encik Shukor Yusof, seorang penganalisis sektor penerbangan daripada firma runding cara penerbangan Endau Analytics, berkata adalah sukar untuk membuat keputusan yang tetap sekarang, dengan keadaan yang berubah-ubah.
"Pandemik Covid-19 telah mengubah industri penerbangan dan tiada siapa yang tahu bagaimana ia akan berakhir serta bagaimana landskapnya sesudah itu.
"Pegawai yang bertanggungjawab bagi Lapangan Terbang Changi merupakan karyawan yang amat berpengalaman yang pastinya telah membuat penilaian tentang masa depan lapangan terbang ini, dengan mengambil kira pandemik ini.
"Penangguhan ini boleh difahami kerana industri ini beroperasi secara hari demi hari atau minggu demi minggu, bergantung pada virus itu, dan oleh itu adalah sukar untuk membuat keputusan yang tetap sekarang," ujarnya.
Encik Shukor juga yakin Lapangan Terbang Changi dapat bangkit lebih kukuh selepas Covid-19 dan lebih bersedia bagi masa akan datang.
Kerja peningkatan dan peluasan Terminal 2, yang bertujuan membolehkannya menampung lagi lima juta penumpang setahun, pada awalnya dijadual siap menjelang 2024.
Kerja peningkatan itu, bersama rancangan bagi projek terminal kelima Changi, merupakan respons kepada jumlah perjalanan udara yang dijangka berkembang di rantau ini.
Disember lalu, jumlah trafik penumpang di Lapangan Terbang Changi mencapai 15 peratus daripada tahap sebelum pandemik, didorong oleh pelancaran beberapa Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL).
Ini merupakan prestasi terbaik lapangan terbang itu sejak Mac 2020.
Namun, pemulihan dalam beberapa bulan akan datang dijangka lebih perlahan, dengan berakhirnya musim cuti hujung tahun dan kuota VTL yang diperketat.
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, berkata Singapura mahu terus membuka semula sempadannya secara beransur-ansur dan mempunyai rancangan memulihkan perjalanan bebas kuarantin dengan lebih banyak negara dan wilayah.
Encik Iswaran memberi jaminan bahawa perjalanan tanpa kuarantin akan disambung jika ia dinilai selamat meskipun pemerintah meletak sekatan terhadap VTL sebagai respons terhadap gelombang varian Omicron Covid-19 di peringkat global.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg