Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tabung Cinta galak ramai terus menyumbang

Jan 27, 2023 | 5:30 AM
PERLU NAIK TARAF: Dewan solat Masjid Haji Muhammad Salleh ini perlu menjalani kerja-kerja peningkatan agar mampu memberikan keselesaan kepada jemaah, khususnya bagi warga senja yang bersolat di masjid yang terletak di Palmer Road ini. - Foto-foto MASJID HAJI MUHAMMAD SALLEH.
PERLU NAIK TARAF: Dewan solat Masjid Haji Muhammad Salleh ini perlu menjalani kerja-kerja peningkatan agar mampu memberikan keselesaan kepada jemaah, khususnya bagi warga senja yang bersolat di masjid yang terletak di Palmer Road ini. - Foto-foto MASJID HAJI MUHAMMAD SALLEH. -

SEPERTI yang diketahui ramai, Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh sedang giat melaksanakan projek infak untuk mengumpul dana bagi meningkatkan prasarana masjid dan membaik pulih keadaan makam.

Justeru, Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh menawarkan dua inisiatif derma yang berbeza bagi memastikan projek tersebut berjalan dengan lancar.

Setiausaha Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh, Encik Muhammad Jalaluddeen Saukat Ali berkata:

"Tabung Cinta dan Giving Fridays adalah antara usaha yang ditawarkan kepada masyarakat yang ingin berbakti kepada masjid dan makam.

"Kedua-dua platform ini memberi peluang kepada penderma untuk memilih cara sumbangan yang berlainan, khususnya bagi masyarakat yang berbeza demografi dan gemarkan penggunaan digital."

TABUNG CINTA GALAK DERMA

Menurut Encik Muhammad Jalaluddeen, Tabung Cinta ialah sebuah tabung kecil yang disediakan oleh pihak masjid kepada masyarakat yang ingin menderma.

"Masyarakat Islam di Singapura yang berminat untuk mendapatkan tabung ini boleh menghubungi pihak masjid dan membawa pulang Tabung Cinta.

"Mereka boleh meletakkan tabung ini di rumah bagi menggalakkan ahli keluarga melakukan sedekah dengan seikhlas mungkin dan mendidik mereka untuk menderma.

"Oleh itu, mereka boleh menderma dengan memasukkan wang ke dalam tabung tersebut pada setiap hari atau minggu.

"Setelah tabung tersebut penuh, mereka boleh menghubungi pihak masjid semula atau datang ke masjid untuk menyerahkan tabung tersebut kepada pihak masjid.

"Selain itu, ia juga menjadi satu usaha yang baik dalam mendorong keluarga untuk melakukan kebaikan dan membantu masjid-masjid atau pihak yang memerlukan.

"Ia turut dinamakan sebagai Tabung Cinta bagi membuktikan rasa cinta kepada rumah Allah swt dan para aulia serta menghadirkan rasa cinta untuk membuat kebaikan.

"Setakat ini, kami telah menyediakan sekitar 2,500 buah tabung. Oleh itu, kami menyeru lebih ramai masyarakat untuk tampil ke hadapan bagi membantu mendaftarkan diri dan menjadi sebahagian daripada penderma Tabung Cinta,"katanya.

MENGEJAR PAHALA DI HARI JUMAAT

Giving Fridays turut menjadi satu lagi usaha baru untuk Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh dalam menggalakkan masyarakat menyumbang ke jalan Allah swt.

Tambah Encik Muhammad Jalaluddeen:

"Dengan kemudahan PayPal, para penderma boleh meletakkan ketetapan untuk menyalurkan wang derma kepada masjid secara automatik pada setiap hari Jumaat.

"Potongan PayPal yang telah dilakukan itu akan menjadi derma yang konsisten, sekaligus memudahkan usaha menyumbang kepada masjid.

"Tujuan utama pelaksanaan Giving Fridays adalah untuk memberi khidmat kepada masyarakat yang ingin menderma jumlah tertentu pada setiap hari Jumaat.

"Oleh itu, platform Giving Fridays akan menjadi peluang terbaik untuk masyarakat menderma, lebih-lebih lagi pada hari Jumaat, yang mana ia merupakan hari mulia untuk melakukan kebaikan."

HARAPAN MASJID

Ketika menyatakan harapan masjid, Encik Muhammad Jalaluddeen menjelaskan: "Masjid ingin melihat masyarakat Islam dapat terus menjadi insan yang proaktif dan aktif untuk menggalakkan keluarga, sahabat dan rakan sekerja dalam membantu masjid yang memerlukan.

"Kami sangat memerlukan sokongan orang ramai untuk menyertai platform sumbangan yang disediakan bagi mencukupkan jumlah dana yang diperlukan.

"Di samping itu, kami juga ingin melahirkan semangat membantu, perasaan sayang kepada para aulia dan cintakan rumah Allah swt supaya masyarakat Islam dapat mengukuhkan lagi tanggungjawab terhadap orang lain, tanpa mengira umur, agama dan bangsa."

INFO

- PayNow ke S03MQ0039G

- Pemindahan wang ke akaun semasa OCBC 59100798-400 di bawah nama akaun LPM HAJI MUHAMMAD SALLEH. Sila nyatakan di ruang rujukan sama ada untuk derma masjid atau dana makam.

- Layari www.hjmuhdsalleh.org.sg atau hubungi talian 6220-9257 untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg