TAIPEI: Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan bersetuju untuk memulakan rundingan perdagangan di bawah inisiatif baru dan mahu mencapai persetujuan dengan "hasil yang bermakna dari segi ekonomi", dalam satu lagi tanda peningkatan sokongan AS untuk pulau itu.
Washington dan Taipei melancarkan 'Inisiatif Perdagangan Abad Ke-21 AS-Taiwan' pada Jun lalu, hanya beberapa hari selepas pentadbiran Presiden Joe Biden mengecualikan pulau yang dituntut oleh China itu daripada rancangan ekonominya yang fokus kepada Asia untuk menentang pengaruh China yang semakin meningkat.
Inisiatif itu bertujuan untuk "mencapai perjanjian dengan komitmen standard tinggi yang mewujudkan kemakmuran yang inklusif dan tahan lama" mengenai isu-isu termasuk kemudahan kastam, memerangi rasuah, piawaian biasa mengenai perdagangan digital, hak pekerja, standard alam sekitar yang tinggi dan dan amalan bukan pasaran, kata salah seorang pegawai AS.
Inisiatif dua hala dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) pentadbiran Encik Joe Biden dilancarkannya minggu lalu semasa lawatan ke Seoul dan Tokyo melibatkan 13 negara.
Namun, AS tidak menjemput Taiwan yang ditadbir sendiri secara demokratik untuk menyertai rundingan IPEF.
Negara-negara yang didekati Washington enggan menyertai kumpulan dengan pulau itu kerana bimbang akan menimbulkan kemarahan Beijing, menurut seorang pegawai AS yang terlibat dalam rundingan awal.
Lebih 200 ahli Kongres AS telah mendesak agar Taiwan dimasukkan ke dalam IPEF.
Pengumuman mengenai rundingan Taiwan dibuat selepas mesyuarat maya pada kelmarin antara Timbalan Wakil Perdagangan AS, Cik Sarah Bianchi, dan ketua perunding perdagangan Taiwan, Encik John Deng.
Bercakap di Taipei, Encik Deng berkata mereka berharap akan ada peluang tidak lama lagi untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas yang telah lama dicari oleh Taiwan dengan AS, sambil menambah pulau itu juga masih berusaha untuk menyertai IPEF.
Rundingan dengan Taiwan yang diketuai Washington oleh pejabat Wakil Perdagangan AS akan menambah beberapa dialog sedia ada dengan pulau itu, termasuk yang diketuai oleh Jabatan Perdagangan mengenai kawalan eksport dan isu rantaian bekalan lain, kata pegawai AS.
Seperti IPEF, inisiatif dengan Taiwan tidak memerlukan kelulusan kongres kerana ia tidak termasuk keperluan akses pasaran atau pengurangan tarif, tambah pegawai itu.
"Kami fikir terdapat banyak bidang yang boleh kami bincangkan, yang benar-benar akan mempertingkat penglibatan ekonomi, hubungan ekonomi kami tanpa menangani isu akses pasaran. Tetapi sudah tentu jelas sekali, kami tidak menolak apa-apa untuk masa depan,'' kata pegawai itu.
Pegawai kedua berkata inisiatif baru itu menambah usaha lain untuk "menyerlahkan komitmen AS terhadap rantau ini, khususnya dari segi ekonomi." - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg