SEBUAH tajaka PCF Sparkletots di Serangoon ditutup selepas satu kelompok jangkitan Covid-19 muncul di situ dan akan dibuka semula pada 21 September, selepas kerja pembasmian kuman dan pembersihan dijalankan.
PCF Sparkletots @ Braddel Heights di Blok 335 Serangoon Avenue 3 itu telah mendapatkan khidmat pembasmian kuman dan pembersihan vendor diiktiraf Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) bagi membersihkan premis serta peralatannya, sebelum ia ditutup pada 7 September, lapor akhbar The Straits Times.
Cik Marini Khamis, pengarah kanan divisyen pengurusan sekolah PCF, berkata tajaka itu akan menjalani kerja pembersihan dan pembasmian kuman lanjut sebelum ia dibuka semula.
"Kecuali ada perkembangan lain, pusat itu akan dibuka semula pada 21 September 2021," katanya kepada akhbar itu semalam.
Cik Marini menggesa ibu bapa memantau keadaan kesihatan anak mereka dan mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mereka kurang sihat.
"Kanak-kanak kurang sihat harus berehat di rumah hingga mereka pulih sepenuhnya," ujar beliau.
"Kesihatan dan keselamatan kanak-kanak dan kakitangan kami adalah satu keutamaan bagi kami dan kami sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama Kementerian Kesihatan dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda)," ujar Cik Marini, sambil menambah bahawa pusat itu menghubungi ibu bapa secara kerap.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg