PENGEMBARA yang divaksinasi sepenuhnya terhadap Covid-19 tidak lagi perlu mengambil sebarang ujian Covid-19 untuk memasuki Singapura mulai Selasa ini. Peraturan ini telah dilaksana bagi mereka yang memasuki Singapura melalui Koswe dan Linkedua, dan kini turut dilaksana bagi mereka yang masuk menerusi udara dan laut.
Buat masa ini, sebelum perjalanan memasuki Singapura pengembara udara dan laut perlu mengambil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) Covid-19 yang ditadbir secara profesional atau ujian pantas antigen (ART) yang dikendali secara profesional atau diselia secara maya oleh pihak yang diiktiraf.
Sementara itu, pengembara ulang-alik Singapura dan Malaysia boleh menaiki bas awam dan teksi rentas sempadan mulai 1 Mei, setelah perkhidmatan itu dihentikan sejak Mac 2020.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata semalam SBS Transit akan mengembalikan perkhidmatan bas 160, 170 dan 170X. Bas SMRT akan memulakan semula perkhidmatan 950 rentas sempadannya, dan pengendali bas Singapura Transtar Travel akan menyambung perkhidmatan TS1, TS3, TS6 dan TS8nya.
LTA berkata ia bekerjasama rapat dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia bagi mengembalikan perkhidmatan teksi rentas sempadan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg