Topic followed successfully
Go to BHkuTalian bantuan nasional baru bagi warga emas dilancar
Talian bantuan nasional baru bagi warga emas dilancar
Talian bantuan nasional baru bagi warga emas dilancar
UNTUK membantu warga emas yang memerlukan, satu talian bantuan nasional baru yang menawarkan bantuan dalam masa nyata lima hari seminggu telah dilancarkan semalam.
Dikendalikan oleh sukarelawan yang sudah lanjut usia dan terlatih, talian bantuan Aces Care HelpLife itu telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, di Kelab Masyarakat Teck Ghee.
Orang ramai boleh menghubungi nombor talian 6797-6797 setiap hari dari Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.
Talian bantuan itu diperkenalkan buat kali pertama pada Oktober tahun lalu oleh badan amal, Aces Care dan syarikat keusahawanan sosial Octopus8 sebagai respons kepada keperluan yang semakin meningkat bagi membantu warga emas yang terpencil dan dalam keadaan kesusahan semasa pandemik.
Talian itu yang dikelolakan sukarelawan daripada kawasan undi Teck Ghee, dijangka akan diperluaskan kepada kawasan lain sedang lebih ramai sukarelawan daripada kawasan undi lain direkrut dan dilatih.
Menerusi talian bantuan itu, sukarelawan yang sudah lanjut usia itu akan memberikan respons kepada panggilan kecemasan selain menawarkan khidmat sokongan seperti membantu warga emas dengan memesan makanan dalam talian serta membantu mereka membuat tempahan atau menjadualkan semula janji temu perubatan mereka.
Di samping itu, sukarelawan lanjut usia Aces Care Helplife ini, yang juga dikenali sebagai ejen Aces Care Helplife, turut akan menawarkan empati dan keselesaan bagi warga tua yang memerlukan.
Ini membantu kedua-dua ejen dan warga tua mencari matlamat dan teman dalam meniti usia senja.

