Talian Jagaan Nasional henti operasi mulai 31 Dis

TALIAN Jagaan Nasional (NCH), yang menawarkan bantuan kepada individu mengalami tekanan emosi disebabkan pandemik Covid-19, akan berhenti operasi mulai 31 Disember kerana terdapat kemerosotan dari segi jumlah panggilan yang diterimanya.
Talian itu - dilancar pada 10 April 2020 ketika langkah pemutus rantaian jangkitan - telah melihat lebih 900 pakar kesihatan mental, perkhidmatan sosial dan relawan yang dilatih mengendali panggilan daripada orang ramai.
Sehingga kini, sekitar 76,500 panggilan telah dibuat, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dalam satu kenyataan semalam.
Talian tersebut dikendali karyawan perkhidmatan sosial dan relawan terlatih daripada Viriya Community Services.
Pengumuman penutupan NCH itu dimaklumkan selepas waktu operasinya diubah kepada 8 pagi hingga 8 malam pada Januari, daripada 8 pagi hingga tengah malam sebelum ini, selepas bilangan panggilan bertambah stabil.
Dengan pelonggaran langkah pengurusan selamat serta pengalihan kepada konsep hidup bersama Covid-19, terdapat kemerosotan besar dari segi panggilan yang diterima sebanyak 85 peratus pada Oktober 2022, berbanding semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan pada Mei 2020.
Jika panggilan dibuat kepada talian tersebut selepas 8 malam pada 31 Disember, pemanggil akan disalurkan kepada talian bantuan alternatif untuk mendapatkan bantuan, termasuk talian yang disokongi Institut Kesihatan Mental dan Samaritans of Singapore.
Mereka yang ingin mendapatkan bantuan daripada saluran bantuan alternatif boleh menghubungi Pusat Kaunseling Care Corner - bagi mereka yang berbahasa Cina - dan khidmat kaunseling dalam talian Fei Yue serta Viriya Therapy Centre bagi mereka yang mengalami isu kesihatan mental.
Mereka yang ingin mendapatkan bantuan bagi isu perkahwinan, keibubapaan dan perceraian pula boleh menghubungi Kaunseling Dalam Talian Hab Psikologi Masyarakat (CPH) menerusi laman www.cphonlinecounselling.
Penyedia khidmat bantuan lain termasuk; Hear4U (WhatsApp 6978-2728); talian 24 jam IMH (6389-2222); Pusat Kaunseling Sage - Talian Bantuan Warga Emas (1800-555-5555); dan Samaritans of Singapore (Talian: 1-767; CareText: (WhatsApp 9151-1767 tersedia 24 jam).
Saluran hubungan lain juga termasuk: Talian Kesatuan Kesihatan Mental Singapura (1800-283-7019); Reben Perak Singapura (6386-1928); dan Tinkle Friend bagi golongan muda 7-12 tahun (1800-2744-788).
Bagi melaporkan keganasan atau penganiayaan, boleh hubungi Talian Bantuan 24 Jam Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH) (1800-777-0000).

