Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman baru, laluan senaman antara ciri segarkan estet Queenstown

Sep 30, 2023 | 5:08 PM
TAMAN TERAPEUTIK: Lakaran artis bagi Taman Semula Jadi Ghim Moh yang akan menjadi sebahagian daripada rancangan peningkatan Queenstown di bawah program Membentuk Semula Estet (ROH) HDB.
TAMAN TERAPEUTIK: Lakaran artis bagi Taman Semula Jadi Ghim Moh yang akan menjadi sebahagian daripada rancangan peningkatan Queenstown di bawah program Membentuk Semula Estet (ROH) HDB. - Foto HDB

Queenstown akan menjalani perubahan sepanjang lima hingga 10 tahun mendatang dengan ciri-ciri seperti taman baru, laluan senaman dan taman terapeutik, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Sabtu.

Mengumumkan rancangan memberi nafas baru kepada bandar itu, HDB berkata pihak berkuasa akan juga meneroka penggunaan semula beberapa blok di estet Tanglin Halt, yang asalnya dibangunkan oleh Singapore Improvement Trust (SIT) yang tiada lagi.

Ini adalah untuk mengekalkan ciri utama warisan bandar itu. Namun, tiada perincian lain diberi.

Sebanyak 31 blok flat, tujuh blok komersial dan dua pasar serta pusat makanan di Tanglin Halt dijadualkan dirobohkan menjelang 2024 di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers). Kerja-kerja itu sudah pun bermula pada hujung 2021.

HDB memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa pembangunan semula Tanglin Halt telah bermula dengan perobohan Blok 1A, 2A dan 3A Commonwealth Drive dan Blok 46-1, 46-2 dan 46-3 Commonwealth Drive.

Blok-blok tersebut akan memberi laluan kepada pembangunan semula Pusat Kejiranan Tanglin Halt.

Sementara itu, projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru, Tanglin Halt Cascadia, akan dilancarkan di Commonwealth Drive, menurut satu pameran memberi nafas baru kejiranan itu yang dibuka pada Sabtu.

Berdasarkan laman web HDB, ia akan mempunyai 970 flat tiga dan empat bilik.

Peningkatan Queenstown itu sebahagian daripada program Membentuk Semula Estet (ROH) HDB. Queenstown adalah antara empat bandar yang dikenal pasti untuk diperbaharui. Tiga lagi ialah Ang Mo Kio, Bukit Merah dan Choa Chu Kang.

HDB berkata perumahan, warisan dan alam semula jadi dikenal pasti sebagai tema utama yang penting kepada penduduk Queenstown, yang berbangga dengan kekayaan sejarah, kehijauan dan lokasi bandar itu.

“Ramai juga yang mahu kemudahan lebih moden yang boleh memenuhi permintaan semua peringkat umur, serta kehijauan dan ruang untuk mereka berkumpul dan beriadah bersama rakan dan jiran,” tambah HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg