Sebuah rumah ladang era kolonial di Bukit Sembawang di atas sebuah taman baru yang indah akan menjadi antara daya tarikan bagi penduduk Chencharu, sebuah kawasan perumahan baru yang sedang pesat dibangunkan di Yishun.
Chencharu, yang disempadani Yishun Avenue 1, Yishun Avenue 2 dan Sembawang Road, juga akan mempunyai pembangunan bersepadu merangkumi sebuah pusat penjaja, pusat tukaran bas, kedai dan flat perumahan.
Kemudahan baru lain yang dirancang termasuk sebuah institusi pendidikan dan sebuah rumah jagaan untuk memenuhi keperluan penduduk dalam kumpulan usia berlainan, menurut HDB pada 12 Jun.
Chencharu merupakan sebuah kawasan ladang pada 1900-an sebelum dibangunkan semula bagi kegunaan rekreasi dan komersial.
Ia pernah menempatkan kawasan semaian tumbuh-tumbuhan dan bekas Taman Bottle Tree, yang kemudian menjadi taman riadah Orto.
Kawasan Chencharu dikenal pasti sebagai kawasan perumahan baru oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam pelan induk 2019-nya.
Menjelang 2040, sekitar 10,000 rumah akan dibina di tapak seluas 70 hektar itu.
Sekitar 80 peratus daripadanya adalah flat perumahan awam, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada Mac.
Menurut HDB, projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pertama di Chencharu, merangkumi 1,270 unit, termasuk flat fleksi dua bilik, dan flat tiga hingga lima bilik, akan dilancarkan sebelum akhir Jun.
Projek lain di kawasan itu akan dilancarkan secara bertahap pada tahun-tahun akan datang.
Rancangan bagi kawasan itu akan memaparkan sejarah dan warisan Chencharu, dan turut menerapkan pelbagai ciri bijak dan mampan.
Kawasan tersebut akan mempunyai rangkaian pengangkutan awam yang dihubungkan dengan ruang rekreasi bagi menggalak penduduk berjalan dan berbasikal.
Kawasan tengah estet itu akan mempunyai laluan pejalan kaki yang menghubungkan sebuah taman baru di sebelah barat dengan taman kejiranan sedia ada berhampiran stesen MRT Khatib di sebelah timur.
Sebatang jalan raya khusus untuk bas sahaja, Chencharu Link, akan dibina dari utara ke selatan estet itu bagi menyediakan “ruang jalan raya khusus bagi perjalanan bas yang lebih lancar”, menurut HDB.
Terdapat juga laluan berjalan kaki dan berbasikal yang menghubungkan estet itu ke bandar kejiranan seperti Sembawang dan nod rekreasi seperti Taman Alam Khatib Bongsu, Kolam Air Lower Seletar, dan Koridor Utara-Selatan yang bakal dibina.
Projek BTO pertama di Chencharu akan turut menerapkan pelbagai ciri sebuah banglo dari era kolonial berusia lebih 100 tahun di 50 Bah Soon Pah Road.
Banglo dua tingkat itu, sebuah rumah ladang yang dibina pada awal 1910-an oleh Bukit Sembawang Rubber Company, dikekalkan oleh pihak berkuasa untuk kawasan perumahan baru itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg