Topic followed successfully
Go to BHkuTaman Bukit Gombak dibuka dengan lebih banyak ruang berkebun, nikmati kehijauan
Taman Bukit Gombak dibuka dengan lebih banyak ruang berkebun, nikmati kehijauan
Taman Bukit Gombak dibuka dengan lebih banyak ruang berkebun, nikmati kehijauan
KETENANGAN alam semesta dan keseronokan meneroka ruang riadah seisi keluarga dapat dinikmati dengan pembukaan Taman Bukit Gombak pada Ahad (5 Sepetember).
Sebagai meraikan pembukaan taman tersebut, penasihat pertubuhan akar umbi Chua Chu Kang, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong dan Menteri Negara (Budaya, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, yang juga Mayor Daerah South West, menanam pokok asam kuang, jelas Lembaga Taman Negara (NParks), Persatuan Rakyat (PA) dan Sport Singapore dalam kenyataan bersama.
Taman seluas 4.8 hektar dan setinggi 45 meter di atas paras laut menyediakan penduduk sekeliling dengan ketenangan alam menghijau di samping peluang menikmati kegiatan berkebun dan dekat dengan alam sekitar.
Kewujudan taman ini adalah sebahagian usaha NParks memperkukuh alam menghijau di taman Singapura dan membawa kesihatan serta kesejahteraan buat warga Singapura dalam kota alam semesta ini.
NParks juga merancang membangun ruang taman semaian masyarakat di Taman Bukit Gombak, yang akan menyumbang pada gerakan OneMillionTrees (Sejuta Pepohon).
Terdapat 108 anak tangga yang boleh dinaiki pada laluan pusaran 'trekking' 400 meter jika anda ingin menikmati pemandangan panorama alam menghijau dan rimba sekeliling.
Ada juga Taman Rama-Rama dengan tanaman yang menarik perhatian 20 spesies rama-rama di sini.
Spesies pepohon seperti Keruing Gombang Merah (Dipterocarpus kunstleri), Pianggu (Horsfieldia irya) dan Pendarah (Horsfieldia superba) juga boleh ditemui di taman ini.
Bagi keluarga dengan anak-anak kecil, terdapat ruang permainan baru yang menggalak kanak-kanak bermain dan meninjau alam semesta. Ada sorot-sorot sepanjang 5.3 meter yang disepadukan dengan rupa bumi alam bersama struktur permainan lain seperti balok imbang dalam kawasan pepohon dan pokok renek.
Terdapat juga ruang kecergasan luar dengan peralatan senaman, sebuah ruang rumput terbuka buat acara dan sebuah kafe, Whisk and Paddle.
NParks juga menyediakan 120 tapak berkebun daripada jumlah asal sebanyak 70 tapak berkebun di atas permintaan ramai. Semua slot tanaman ini sudah terisi. Skim Tapak Berkebun ini adalah sebahagian visi Singapura membangun Kota Alam Semesta dengan menggalak masyarakat memainkan peranan utama dalam membangun dan mengemudi alam semesta mereka sendiri.
Dalam merancang pembangunan Taman Bukit Gombak, NParks telah bekerjasama dengan Pertubuhan Akar Umbi Bukit Gombak dan mendapatkan maklum balas penduduk mengenai apa yang mereka mahukan di taman itu.
Maklum balas yang diterima rencam dengan saranan bagi mempunyai lebih banyak tanaman yang menarik biodiversiti, kawasan tenang bagi menikmati alam semesta, ruang riadah keluarga dan teman-teman serta peluang bagi masyarakat berkebun dan dekat dengan alam.
Sebagai respons pada maklum balas yang diterima, taman baru itu dibangun dengan kemudahan yang memenuhi keperluan riadah berbeza masyarakat.
Mereka yang berminat menawarkan khidmat sukarela dalam kegiatan berteraskan alam atau ingin bertemu teman-teman dengan minat serupa boleh membangun kumpulan dengan minat sama di bawah Kelab Masyarakat Hillview. Kumpulan ini boleh mengadakan kegiatan seperti menanam pokok, membersihkan pantai, membiak rama-rama dan banyak lagi kegiatan lain.
Kata Cik Low: "Taman dan ruang menghijau memainkan peranan penting dalam membangun kesihatan fizikal dan mental kita khususnya dalam tempoh mencabar. Tambahan terkini pada kawasan menghijau Bukit Gombak adalah unik memandangkan ia dibangunkan bersama penduduk Bukit Gombak dan NParks sebagai ruang yang tertumpu pada masyarakat.
"Sesetengah ciri taman ini diusulkan penduduk seperti ruang larian dan lintasan bersama anjing, taman masyarakat dan ruang bermain bersilang generasi. Penduduk Bukit Gombak ternanti-nanti proram masyarakat taman ini dan berhubung sesama sendiri sebagai masyarakat berdaya tahan Covid-19.
"Taman seluas 4.8 hektar yang subur ini akan tentunya menambah tanda pasti Bukit Gombak sebagai tanah subur dan kediaman sarat alam semesta."
Encik Gan pula berkata: "Kawasan barat daya Singapura ini memaparkan kehijauan subur dalam suasana kediaman kejiranan dengan rangkaian taman dan ruang menghijau seperti Little Guilin dan Taman Alam Bukit Batok. Dengan tambahan Taman Bukit Gombak ini, ia akan menjadi satu lagi ruang menghijau buat penduduk kita nikmati.
"Sedang Singapura beralih menjadi Kota Alam Semesta, taman-taman ini akan membolehkan masyarakat menghargai kehijauan dan bersatu hati menyumbang pada sekitaran mampan."

