Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman Jepun di Jurong dibuka Sep, tawar koleksi terbesar teratai

Sebahagian Taman Tasik Jurong; taman nasional pertama di kawasan kejiranan
Jul 21, 2024 | 6:24 PM
Taman Teratai Air (Water Lily Garden) di Taman Jepun memaparkan lebih 150 jenis bunga, termasuk yang terkecil dan terbesar, yang diperoleh dari serata dunia. 
Taman Teratai Air (Water Lily Garden) di Taman Jepun memaparkan lebih 150 jenis bunga, termasuk yang terkecil dan terbesar, yang diperoleh dari serata dunia.  - Foto NPARKS

Pengunjung ke Taman Jepun berwajah baru di Jurong yang akan dibuka semula pada September 2024 dapat melihat koleksi teratai air terbesar di Singapura, dengan 150 jenis bunga, termasuk yang terkecil dan terbesar, dari serata dunia.

Orang ramai juga boleh meneroka ruang serupa gaung dengan tumbuhan di dinding setinggi 3.5 meter dan menikmati sekitaran agak dingin dan menyegarkan yang dihasilkan oleh gandingan air serta tanaman.

Taman Teratai Air (Water Lily Garden) dan Taman Tenggelam (Sunken Garden) itu antara ciri baru di Taman Jepun berukuran sekitar 13 hektar yang diumumkan Lembaga Taman Negara (NParks) pada 21 Julai.

Taman Tenggelam memaparkan ruang serupa gaung dengan tumbuhan di dinding, serta menawarkan lebih dingin berbanding di luar.
Taman Tenggelam memaparkan ruang serupa gaung dengan tumbuhan di dinding, serta menawarkan lebih dingin berbanding di luar. - Foto ZAOBAO
Taman Tenggelam (Sunken Garden) di Taman Jepun serupa gaung dengan tumbuhan di dinding setinggi 3.5 meter
Taman Tenggelam (Sunken Garden) di Taman Jepun serupa gaung dengan tumbuhan di dinding setinggi 3.5 meter - Foto NParks

Taman Jepun antara tiga taman dalam Taman Tasik Jurong yang seluas 90 hektar. Dua lagi taman ialah Taman Lakeside yang dibuka pada 2019 dan Taman Cina yang akan dibuka pada September 2024.

Taman Jepun antara tiga taman dalam Taman Tasik Jurong. Ia antara lain menempatkan Taman Teratai Air (Water Lily Garden), Taman Tenggelam (Sunken Garden) dan Taman Bunga (Floral Garden).
Taman Jepun antara tiga taman dalam Taman Tasik Jurong. Ia antara lain menempatkan Taman Teratai Air (Water Lily Garden), Taman Tenggelam (Sunken Garden) dan Taman Bunga (Floral Garden). - NParks

NParks dalam kenyataannya berkata pelbagai pihak berkepentingan, termasuk penduduk, pelajar, relawan dan penderma, telah menyumbang kepada peningkatan Taman Jepun sejauh ini.

Acara menanam pokok masyarakat di taman itu pada 21 Julai misalnya melibatkan lebih 150 penduduk, pemimpin akar umbi, pelajar institut pengajian tinggi, relawan dan penderma.

Mereka menanam pokok dan pokok renek di taman itu bersama penasihat daripada GRC Jurong dan West Coast serta SMC Yuhua dan Bukit Batok termasuk Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Encik Lee berkata sekitar 10 tahun telah berlalu sejak pemerintah membayangkan kemungkinan Taman Tasik Jurong menjadi taman nasional Singapura ketiga dan yang pertama di kawasan perumahan awam.

Pembangunan taman itu bermula secara berperingkat pada 2016 dengan mempertimbangkan sekitar 32,000 maklum balas dan idea daripada orang ramai.

“Kami dapat menggabungkan agak banyak idea ini ke dalam rancangan untuk Taman Tasik Jurong seperti ruang acara untuk masyarakat dan melindungi warisan taman,” kata Encik Lee.

“Apabila Taman Jepun dan Taman Cina yang disegarkan dibuka September ini, kita akan melihat ia bukan sahaja kerja karyawan dan rakan-rakan kerja di NParks, tetapi usaha ramai anggota masyarakat. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperingati perjalanan 10 tahun, bagaimana kita sampai di sini dengan sokongan masyarakat, bekerjasama dengan kami, dan ramai penderma yang telah menyumbang kepada taman ini,” tambahnya.

Acara menanam pokok masyarakat itu disokong oleh sumbangan $21,000 daripada individu bernama Encik Han Jok Kwang yang merupakan anggota Jawatankuasa Pengurusan Dana Garden City iaitu badan amal NParks yang berdaftar dan berstatus Institusi Bertaraf Awam (IPC).

Syarikat Micron Technology turut menyumbang $1 juta kepada dana itu bagi menyokong usaha kemampanan taman melalui pelaksanaan sistem pengurusan air bijak yang membantu membersihkan dan memulihkan air di Taman Teratai Air dan juga Taman Jepun.

NParks juga bekerjasama dengan JTC untuk membangunkan konsep reka bentuk dan bekerjasama dengan pelajar dari Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), Politeknik Singapura, Politeknik Ngee Ann, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, serta relawan daripada ‘Friends of Jurong Lake Gardens’ untuk mereka bentuk dan menghasilkan bersama lima tapak masyarakat dalam Taman Bunga (Floral Garden).

Taman Bunga baru itu memaparkan empat taman bertema yang diilhamkan daripada unsur taman Jepun tradisional seperti batu arca, kelompok buluh dan pokok hiasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg