Ibu bapa kini boleh membawa anak-anak mereka menikmati kawasan permainan lebih luas dengan kemudahan dipertingkatkan di Taman permainan air, Waterplay, yang baru diubah suai, dan telah dibuka semula di Taman Kanak-Kanak Jacob Ballas pada 25 Februari.
Terletak di Taman Botani Singapura, Waterplay ditutup pada awal 2019 dan kerja pembinaan bermula pada November 2023.
Dengan keluasan sekitar 500 meter persegi, saiznya kini tiga kali ganda lebih luas daripada saiz asalnya, kata Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataan media.
Antara kegiatan yang disediakan untuk kanak-kanak termasuk, penerokaan kitaran air menerusi elemen interaktif seperti zon kabus, kolam cetek, dan pancutan air yang membantu menggambarkan proses tersebut dengan jelas kepada si cilik.
Ciri-ciri seperti air pancut berbentuk payung, serta baldi yang menyimbah air – direka untuk menyerupai hujan, manakala zon simbahan air (splash zone) dengan bukit kecil dan busut menggambarkan bagaimana air mengalir dari kawasan yang lebih tinggi ke kawasan yang lebih rendah.
Kanak-kanak juga dapat melihat cara air mengalir di persekitaran, melalui papan tanda interaktif yang membimbing mereka di setiap peringkat kitaran air, lengkap dengan kesan cahaya dan bunyi.
Sistem saliran yang dinaik taraf akan memastikan kawasan ini kekal kering dan selamat untuk pengunjung, lapor The Straits Times (ST).
Para pengunjung boleh menjangkakan lebih banyak kawasan menukar pakaian, zon membasuh, dan tempat duduk di taman permainan air yang telah diubah suai ini.
Waterplay sesuai untuk kanak-kanak berumur daripada dua hingga 12 tahun, namun mereka perlu diawasi oleh orang dewasa yang menemani mereka pada setiap masa.
Masuk adalah percuma.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg