PEKERJA layak dan memerlukan akan terus menerima pembayaran skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), sekalipun mereka tidak memenuhi kriteria pendapatan minimum baru, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Kriteria baru itu, yang diumumkan semasa Belanjawan pada bulan lalu, dikenakan terhadap pekerjaan yang dilakukan mulai 1 Januari tahun depan.
Pekerja akan perlu meraih sekurang-kurangnya $500 sebulan untuk menerima pembayaran Daya Kerja, yang menokok kepada pendapatan dan simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.
Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya semalam, Encik Zaqy berkata konsesi dilaksana bagi golongan seperti pekerja berpendapatan rendah yang layak bagi ComCare dan mereka yang mahu bekerja lebih tetapi tidak boleh disebabkan keadaan peribadi, seperti kurang upaya.
Beliau berkata demikian semasa memberi respons kepada keprihatinan yang diutarakan beberapa Anggota Parlimen (AP) semasa bahas Belanjawan minggu lalu, bahawa peraturan itu mungkin mengecualikan pekerja paling memerlukan sokongan.
Encik Zaqy berkata tujuannya ialah menggerakkan semua pekerja ke arah pekerjaan menguntungkan dan rasa pencapaian lebih tinggi, dan menyasarkan pembayaran lebih baik kepada mereka yang memerlukannya, dan bukan pekerja kasual yang melakukan pekerjaan semasa musim cuti, contohnya.
"Daya Kerja bukanlah peringkat terakhir bagi pekerja yang meraih pendapatan kurang $500 sebulan.
"Kita perlu membantu pekerja sambilan ini mencari pekerjaan dengan mutu dan jumlah waktu kerja yang sesuai untuk meraih gaji sekurang-kurangnya $500 atau lebih jika mereka boleh.
"Dan kami mempunyai seluruh rangkaian program dan inisiatif pemudahan pekerjaan yang sedia membantu," kata Encik Zaqy.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg