TAMBANG penerbangan lebih tinggi adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan buat masa sekarang, lebih-lebih lagi dengan harga minyak yang tinggi dan harga minyak tanah jet lebih tinggi, sedang pengilang minyak jet belum lagi kembali ke paras penghasilan prapandemik, kata ketua pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata).
Syarikat penerbangan perlu menaikkan tambang sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus bagi mengimbangi kenaikan kos minyak, yang juga merupakan perbelanjaan terbesarnya, kata Encik Willie Walsh.
"Harga minyak pesawat telah menyebabkan kenaikan amat ketara dalam kos bagi syarikat penerbangan.
"Melihat pada prestasi kewangan syarikat penerbangan, tiada cara lain bagi syarikat penerbangan untuk menyerap kos tambahan itu," kata beliau semasa satu taklimat media kelmarin menjelang Sidang Penerbangan Changi.
Namun, tiada bukti bahawa tambang penerbangan lebih tinggi akan menghalang orang awam daripada perjalanan, kata Encik Walsh.
"Terdapat permintaan kukuh untuk penerbangan. Orang telah menyimpan duit dan mereka bersedia untuk membelanjakan duit itu," katanya.
Tambang penerbangan di sini dan secara global telah melonjak dengan trafik udara bangkit semula.
Tiket ulang alik daripada syarikat penerbangan SIA ke London dari 20 Jun hingga 10 Julai kini berharga sekitar $3,200, naik daripada $1,800 semasa tempoh pra-pandemik.
Kenaikan tambang merangkumi antara 20 hingga 80 peratus sejak Singapura membuka semula sempadannya pada April, di tengah-tengah bilangan penumpang berganda di Lapangan Terbang Changi untuk mencapai 40 peratus paras 2019.
Encik Walsh juga berkata kos minyak jet secara purata sekitar 30 hingga 33 peratus lebih tinggi berbanding harga minyak pada suku pertama tahun ini.
Antara 2010 dengan 2019, ia secara purata 17 peratus lebih tinggi daripada harga minyak.
Dengan kilang penapisan minyak tanah jet kini menambah penghasilan mereka, tambang penerbangan akan merosot pada separuh kedua tahun ini, katanya.
Industri penerbangan sedang menyesuaikan diri bagi pemulihan perjalanan udara lebih pantas daripada yang dijangkakan, dan kini sedang berhadapan dengan tenaga manusia dan tunggakan penerbangan, yang menurut Encik Walsh, merupakan "masalah yang baik" bagi sektor tersebut.
Di samping itu, para penganalisis berkata lebih daripada harga minyak, faktor lebih penting bagi tambang penerbangan ialah bekalan dan tuntutan bagi penerbangan.
Sebaik syarikat penerbangan menjadualkan lebih banyak jumlah penerbangan, tambang udara akan menjadi lebih berdaya saing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg