TANDA yang dilekatkan di tempat duduk di pusat penjaja telah disesuaikan bagi membenarkan kumpulan lebih besar sehingga lapan orang duduk semeja, selaras dengan permulaan Fasa Ketiga pembukaan semula ekonomi Singapura semalam.
Menurut kenyataan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), meja yang mempunyai lapan tempat duduk atau lebih rendah tidak lagi akan ditandakan.
Hanya meja yang memperuntuk lebih lapan tempat duduk akan bertanda, untuk memastikan jumlah maksimum lapan orang bagi setiap kumpulan dijaga.
"Dalam Fasa Ketiga, tanda di tempat duduk dan meja di pusat penjaja diubah dengan cara yang mudah dan fleksibel untuk menampung saiz kumpulan sehingga lapan orang berbanding hanya lima orang sebelum ini," kata NEA.
Agensi tersebut menambah jarak selamat satu meter masih perlu dipatuhi antara kumpulan berbeza semasa di pusat penjaja.
Apabila meja diatur terlalu dekat dan tidak boleh dialihkan, beberapa tempat duduk akan 'dipangkah' untuk memastikan jarak selamat dikekalkan.
Duta jarak selamat juga akan terus dikerah ke pusat penjaja demi memastikan langkah keselamatan dipatuhi, kata NEA.
Fasa tiga pembukaan Singapura yang dinantikan ramai bermula semalam, sekitar lapan bulan selepas tempoh pemutus litar diumumkan April lalu untuk mengawal penularan Covid-19.
Kumpulan yang mempunyai sehingga lapan orang kini boleh berkumpul, berbanding hanya lima orang sekumpulan sebelum ini.
Had kapasiti di pusat beli-belah dan kedai juga diubah dari 10 meter persegi bagi setiap orang kepada lapan meter persegi setiap orang.
Selain memastikan langkah keselamatan dipatuhi, mereka yang makan di pusat penjaja juga perlu terus membuang sisa makanan sendiri dan mengembalikan dulang dan pinggan mangkuk di ruang yang ditetapkan, kata NEA.
"Ini akan memastikan sekitaran makan di pusat penjaja kekal bersih dan mengurangkan risiko jangkitan penyakit kepada pelanggan lain, pembersih dan penjaja," kata agensi itu.
Sementara itu, NEA menambah ia akan menghentikan langkah mengehad akses di tujuh pasar.
Langkah tersebut diperkenalkan untuk menjaga kesihatan awam dan memastikan terdapat langkah jarak selamat yang berkesan di pasar.
Tujuh pasar tersebut terletak di blok 221A/B Boon Lay Place, blok 448 Clementi Avenue 3, blok 628 Ang Mo Kio Avenue 4, blok 58 New Upper Changi Road, blok 4A Eunos Crescent, blok 216 Bedok North Street 1, dan blok 630 Bedok Reservoir Road.
Sebelum ini, langkah kawalan tersebut telah ditiadakan di sebanyak 20 pasar lain sejak April. Langkah kawalan akses itu pada awalnya dikenakan di 40 pasar yang biasanya sesak.
Di bawah langkah itu, orang ramai tidak dibenarkan masuk apabila kapasiti pembeli dalam pasar tersebut mencecah tahap maksimum.
Menurut NEA, 13 pasar akan terus mengenakan langkah itu kerana didapati masih mempunyai orang yang beratur di luar.
"NEA berharap anggota awam dan pegerai faham bahawa pendekatan yang lebih teliti diperlukan untuk mencapai keseimbangan antara meneruskan aktiviti di pasar dan menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai dan juga pegerai," kata agensi itu.
SEKILAS
Tujuh pasar yang akan menghentikan langkah kawalan akses mulai Isnin depan:
1. Blok 221A/B Boon Lay Place
2. Blok 448 Clementi Avenue 3
3. Blok 628 Ang Mo Kio Avenue 4
4. Blok 58 New Upper Changi Road
5. Blok 4A Eunos Crescent
6. Blok 216 Bedok North Street 1
7. Blok 630 Bedok Reservoir Road
Pasar yang masih mengenakan langkah tersebut:
1. Blok 105 Hougang Avenue 1
2. Blok 209 Hougang Street 21
3. Blok 335 Smith Street
4. Blok 341 Ang Mo Kio Avenue 1
5. Blok 409 Ang Mo Kio Avenue 10
6. Blok 453A Ang Mo Kio Avenue 10
7. Blok 527 Ang Mo Kio Avenue 10
8. Blok 665 Buffalo Road
9. Blok 254 Jurong East Street 24
10. Pasar Geylang Serai
11. Blok 104/105 Yishun Ring Road (Pasar Chong Pang)
12. Blok 20/21 Marsiling Lane
13. Blok 505 Jurong West Street 52


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg