USAHA membawa masuk tanduk badak sumbu seberat 34 kilogram yang bernilai sekitar $1.2 juta telah dipatahkan di Lapangan Terbang Changi Selasa lalu.
Ini merupakan jumlah terbesar tanduk badak sumbu yang dirampas di Singapura sejauh ini.
Tanduk itu dikesan oleh pegawai keselamatan lapangan terbang dan unit K9 Lembaga Taman Negara (NParks).
Mereka menemui 20 tanduk dalam dua bagasi transit yang menuju ke Laos.
Pemilik beg itu, yang sedang dalam perjalanan ke Laos dari Afrika Selatan menerusi Singapura, telah ditangkap, menurut NParks kelmarin.
"Badak sumbu merupakan spesies yang terlindung di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (Cites), dan perdagangan antarabangsa tanduk badak sumbu dilarang.
"Singapura telah menandatangani Cites dan komited kepada usaha antarabangsa untuk mengekang perdagangan kehidupan liar secara terlarang untuk memastikan haiwan ini dapat terus menakat bagi jangka masa lama," ujar NParks.
Ujian genetik kini sedang dijalankan di Pusat Bagi Forensik Kehidupan Liar untuk mengenal pasti spesies badak sumbu di mana tanduk itu diambil.
NParks berkata tanduk itu akan dimusnahkan selepas itu.
Ini antara lain bertujuan mengelakkannya daripada didagang di pasaran semula serta untuk memusnahkan rantaian bekalan global tanduk badak sumbu yang didagang secara terlarang.
Di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport), seorang individu yang memiliki spesies yang tersenarai di bawah Cites dan sedang dalam perjalanan menerusi Singapura tanpa permit Cites yang sah boleh didenda hingga $50,000 bagi setiap spesies, tidak melebihi $500,000.
Dia juga boleh dipenjara hingga dua tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg