USAHA membawa masuk tanduk badak sumbu seberat 34 kilogram yang bernilai sekitar $1.2 juta telah dipatahkan di Lapangan Terbang Changi Selasa lalu (4 Okt). Ini merupakan jumlah terbesar tanduk badak sumbu yang dirampas di Singapura sejauh ini. Tanduk itu dikesan pegawai keselamatan lapangan terbang dan unit K9 Lembaga Taman Negara (NParks). Mereka menemui 20 tanduk dalam dua bagasi transit yang menuju ke Laos. Pemilik beg itu, Gumede Sthembiso Joel, 32 tahun, yang sedang dalam perjalanan ke Laos dari Afrika Selatan menerusi Singapura, telah ditangkap, menurut NParks pada Rabu (5 Okt). Warga Afrika Selatan itu didakwa di mahkamah pada Khamis (6 Okt) atas tuduhan membawa tanduk badak sumbu bernilai $1.2 juta itu ke Singapura tanpa permit eksport yang sah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg