Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tapak bagi kediaman privet luaskan pilihan warga tua, dilancar

Projek di Kovan dengan pegangan pajak 60 tahun adalah yang pertama serupa itu
Sep 30, 2022 | 5:30 AM
7ce2a0b7-0fda-43c3-ba02-df3eeca96605
-

SEBUAH tapak di Parry Avenue yang akan menempatkan kemudahan kediaman dibantu swasta pertama di Singapura telah dilancarkan untuk dijual melalui tender awam, sedang pemerintah menambah pilihan perumahan untuk warga emas berusia 65 tahun dan ke atas.

Tapak yang mempunyai pegangan pajakan 60 tahun di Kovan itu dijangka menghasilkan unit serba lengkap dengan saiz purata sekurang-kurangnya 32 meter persegi, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan bersama semalam.

Unit-unit di kemudahan kediaman dibantu itu akan mempunyai tandas masing-masing dan boleh ditempatkan dalam blok rumah flat atau gabungan rumah flat dan rumah berlaman.

Warga emas akan mempunyai akses kepada perkhidmatan dalam pembangunan itu yang akan membolehkan mereka menjalani kehidupan, bersosial dan menerima sokongan yang diperlukan untuk meniti usia senja dalam masyarakat.

Bagaimanapun, ia tidak dimaksudkan untuk menjadi pengganti penuh bagi penjagaan di rumah penjagaan warga emas.

Pembangunan itu rata-rata akan berfungsi sebagai penginapan kediaman jangka panjang, kata pihak berkuasa.

Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tinggal di pembangunan itu akan ditawarkan pajakan yang boleh meliputi mereka sehingga sekurang-kurangnya 95 tahun.

Penghuni mesti memenuhi tempoh penginapan sekurang-kurangnya tiga bulan.

Penjualan tapak itu dibuat selepas kejayaan pelancaran perintis Apartmen Penjagaan Masyarakat di Bukit Batok pada Februari tahun lalu yang merupakan sebuah kemudahan kediaman dibantu awam.

"Matlamatnya adalah untuk menawarkan warga emas sekitaran hidup yang membolehkan kebebasan dan mewujudkan peluang untuk menjalin ikatan sosial," kata pihak berkuasa.

Tender awam untuk tapak di Parry Avenue itu adalah tambahan terkini kepada pelbagai pilihan perumahan yang ditujukan kepada warga emas.

Terletak dalam estet Rosyth, pembangunan itu akan merangkumi sebuah taman kejiranan.

Ia juga terletak berhampiran kemudahan beli-belah dan tempat makan seperti Pusat Kejiranan Serangoon North dan Heartland Mall.

Pembangunan itu, yang mempunyai ketinggian bangunan maksimum lima tingkat, bertujuan meningkatkan mutu kehidupan warga emas, kata pihak berkuasa.

"(Ini adalah) dengan mewujudkan persekitaran masyarakat yang menggalak interaksi sosial dan sokongan serta penjagaan bersama, sambil menyediakan persekitaran rumah yang selamat dan kurang bersifat perubatan yang menggalakkan kebebasan dan berdikari," kata pihak berkuasa.

Pengendali kemudahan swasta itu perlu menyelenggara sekurang-kurangnya 100 katil rumah penjagaan di tapak tersebut.

Ini adalah untuk warga emas dengan tahap penjagaan yang tinggi atau telah disahkan menghidap penyakit mental yang teruk atau kehilangan keupayaan mental yang memerlukan sokongan intensif.

Pemaju juga mesti menyediakan ruang yang dikongsi penduduknya seperti dapur masyarakat dan ruang hijau untuk berkebun atau bersenam.

Mereka juga mesti menyediakan program sosial, dan pelbagai perkhidmatan sosial dan penjagaan.

Perkhidmatan itu boleh termasuk pemeriksaan kesihatan kerap, aktiviti penuaan aktif, pengemasan, khidmat dobi, pembaikan rumah dan pemantauan dan tindak balas kecemasan 24 jam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg