DALAM usaha berbakti kepada masyarakat dan mempromosikan kemampanan melalui penggunaan semula dan kitar semula, NTUC FairPrice mengundang orang ramai menyokong projek 'Share-A-Textbook', dengan menderma buku teks dalam keadaan baik di semua pasar rayanya.
Tahun ini, projek tahunan FairPrice itu bermatlamat membantu sekitar 25,000 pelajar berusia antara tujuh hingga 16 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah dan yang terjejas dari segi kewangan akibat pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi.
Ia bertujuan meringankan beban kewangan mereka dengan menyediakan buku teks percuma.
Bagi mengumpul lebih banyak buku, tarikh sumbangan dilanjutkan dari 30 November ke 7 Disember untuk memberi lebih banyak masa bagi penderma menghantar buku mereka di semua cawangan FairPrice.
Ini termasuk pasar raya FairPrice, pasar raya besar FairPrice Xtra, pasar raya FairPrice Finest, Warehouse Club dan cawangan FairPrice Xpress di stesen perkhidmatan Esso - berjumlah 177 cawangan dalam pelbagai format runcit.
Inisiatif masyarakat itu telah mengumpul 350,000 buku teks lama sejak tiga minggu lalu. Ini kurang 30 peratus daripada sasaran mengumpul setengah juta buku teks.
Pelajar yang disenarai pendek daripada pelbagai badan perkhidmaan sosial dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) akan diberi keutamaan untuk mengambil buku teks itu pada 10 Disember, sebelum akses diberi kepada orang ramai pada 11 dan 12 Disember.
Tempahan slot pengambilan buku teks bermula pada 26 November.
Bagi menjaga kesejahteraan orang ramai dan sukarelawan, pratempahan masa pengambilan slot diwajibkan.
Untuk maklumat lanjut sila lungsuri laman www.fairpricegroup.com.sg/do-good/faqs/#share-a-textbook atau hantar e-mel kepada fptextbook@fairprice.com.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg