Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tatapan terakhir wajah ibu hanya melalui video

Setelah setahun setengah terpisah dari isteri dan empat anak, rakyat M'sia kerja di SG tunggu peluang dapat vaksin Covid-19 di sini agar 'saya selamat, keluarga pun selamat' apabila dapat pulang ke Perak
Jun 4, 2021 | 5:30 AM
RINDU: Encik Mohd Shahrul Faizie Zaini, bersama isterinya, Cik Noorsyuhada Mohamed Salleh, dan anak mereka - Iman Nabeeha, 10 tahun; Iman Nafeesa, enam tahun; Iman Naufal, lima tahun; dan Iman Nafees, tiga tahun - pada Syawal 2019. Terakhir mereka bertemu ialah Februari tahun lalu. - Foto ihsan MOHD SHAHRUL FAIZIE ZAINI
RINDU: Encik Mohd Shahrul Faizie Zaini, bersama isterinya, Cik Noorsyuhada Mohamed Salleh, dan anak mereka - Iman Nabeeha, 10 tahun; Iman Nafeesa, enam tahun; Iman Naufal, lima tahun; dan Iman Nafees, tiga tahun - pada Syawal 2019. Terakhir mereka bertemu ialah Februari tahun lalu. - Foto ihsan MOHD SHAHRUL FAIZIE ZAINI -

Pelbagai cabaran dihadapi pekerja Malaysia di Singapura yang tidak dapat pulang dek Covid-19. Selain terpisah sementara dari keluarga, ada terpisah selama-lamanya dari orang tersayang dek kematian. Namun, mereka reda dan turut mendapat sokongan di sini, termasuk diberi vaksin Covid-19. Ikuti kisah mereka di halaman ini dan sebelah.

HAMPIR satu setengah tahun Encik Mohd Shahrul Faizie Zaini terpisah daripada isteri dan empat anaknya - penangan pandemik Covid-19 yang membawa cabaran bertali arus.

Warga Malaysia itu tidak pernah terbayang akan berdepan cabaran sedemikian rupa tatkala dia menerima tawaran bekerja di Singapura tiga tahun lalu.

Kini, Encik Shahrul, 35 tahun, dan keluarganya hanya dapat bergantung pada teknologi untuk 'berjumpa' setelah bersua muka buat kali terakhir pada Februari tahun lalu.

Dengan penutupan sempadan, sekatan keluar masuk (lockdown) berulang kali dan langkah keselamatan bagi menghambat penularan Covid-19 di sini dan seberang Tambak, hampir mustahil baginya - dan ramai warga Malaysia lain - pulang ke pangkuan keluarga.

"Isteri dan anak-anak saya di Perak, ibu (sebelum meninggal dunia) dan ayah ada di Johor. Sebelum Covid tidak ada masalah, sekurang-kurangnya sebulan sekali saya pulang ke Perak. Memang tak pernah miss, sebab saya tahu itulah masa berharga yang saya ada untuk luangkan bersama keluarga," kata Encik Shahrul ketika dihubungi.

Biasanya, dia, yang bekerja sebagai penerbit kanan di Jamiyah Singapore, pulang ke Malaysia pada Jumaat malam selepas kerja dan tiba di Perak sekitar subuh Sabtu.

Pada Ahad malam pula, dia akan pulang ke Singapura dan tiba sekitar subuh Isnin sebelum memulakan tugas. Perjalanan bas tujuh hingga lapan jam itu akan diambilnya satu atau dua kali sebulan.

"Kali terakhir saya balik (ke Perak) pada Februari 2020... tak pernah terfikir langsung keadaan akan berlarutan sepanjang ini. Saya pun tak sempat nak buat persediaan sebab tak terfikir pun akan ada lockdown, jadi kita masih teruskan dengan rutin biasa," katanya.

Ketika itu Encik Shahrul berbekal hanya sebuah beg berisi keperluan asas dan sepersalinan baju pejabat. Jadi terpaksalah dia beli barang-barang baru, sedikit demi sedikit.

Banyak pahit manis hidup seorang diri di Singapura, ujar Encik Shahrul. Antara ujian paling beratnya ialah kehilangan ibunya secara mendadak pada Ogos tahun lalu.

"Ibu meninggal pada 5 petang. Pada hal 4.30 petang itu saya sempat hantar mesej kepadanya, tanya khabar. Tak ada tanda-tanda langsung yang dia akan pergi.

"Bila saya dapat khabar itu, saya masih di pejabat. Saya macam tak percaya," ceritanya, yang menambah bahawa ibunya mengalami serangan jantung.

DIa mendapatkan bantuan Suruhanjaya Malaysia di sini untuk membolehkannya pulang.

Mereka banyak membantu, kata Encik Shahrul, tetapi turut menasihatkan bahawa proses ulang-alik amat menyusahkan disebabkan peraturan ketat dek Covid-19.

Encik Shahrul memutuskan tidak pulang ke Malaysia dan menyaksikan pengurusan jenazah ibunya menerusi panggilan video bersama adiknya.

"Raya tahun lepas, saya sempat buat panggilan video dengan ibu dan keluarga. Tahun ini semuanya kosong, sangat berbeza.

"Tapi saya reda dan sabar. Itulah yang saya boleh lakukan sebagai hamba Allah. Dia yang pinjamkan ibu kepada saya. Sampai waktunya, siapalah kita untuk menghalang," ujar Encik Shahrul.

Pada awal penutupan sempadan, anak-anaknya, yang berusia antara tiga dengan 10 tahun, sering bertanya "bila abi nak balik?".

"Saya cakap, 'insyaAllah bulan depan'... sampai saya pun tak ada jawapan untuk anak-anak.

"Sejujurnya pada waktu itu rasa agak tertekan juga, kerja lain, keluarga lain, dengan anak-anak selalu menangis bila kita buat panggilan video.

"Tapi apa yang saya boleh buat? Saya pun tidak dapat berikan tarikh atau masa," katanya.

Mujur, kini mereka lebih memahami keadaan, tambah Encik Shahrul, yang bersyukur isterinya, Cik Noorsyuhada Mohamed Salleh, 35 tahun, banyak membantu dalam membuat anak-anak mereka lebih faham.

Encik Shahrul turut menyediakan jadual untuk mengekalkan komunikasi dan hubungan dengan keluarganya, dan untuk mereka "merasakan keberadaan saya".

Setiap hari, dia akan membuat panggilan sebelum anak-anaknya ke sekolah, pada waktu tengah hari apabila mereka pulang dari sekolah dan selepas maghrib untuk mengajar mereka mengaji.

Dengan keadaan semakin genting di Malaysia, Encik Shahrul sangat risau akan keselamatan keluarganya.

"Sebagai ketua keluarga, saya memang sangat tegas dalam isu ini. Saya dah pesan kepada isteri saya, selagi tak ada keperluan untuk keluar, jangan keluar.

"Saya akan belikan mereka barang-barang dapur dari dalam talian yang dihantar ke rumah. Jadi mereka tak perlu keluar rumah, jadi sekurang-kurangnya saya masih dapat lindungi keluarga saya," jelasnya.

Buat masa ini, Encik Shahrul menunggu peluangnya mendapatkan vaksinasi Covid-19 di sini dan tidak akan pulang ke Malaysia sebelum divaksinasi, sekalipun jika sempadan dibuka semula nanti.

"Saya nak pastikan saya selamat dan keluarga saya pun selamat," katanya."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg