SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Teknik 'sambung bulu' bagi pulihkan sayap burung

Teknik 'sambung bulu' bagi pulihkan sayap burung

Feb 11, 2022 | 7:17 AM

Teknik 'sambung bulu' bagi pulihkan sayap burung

Bantu burung tebar semula sayap
Bantu burung tebar semula sayap -

APABILA seekor burung hilang bulunya dan tidak lagi boleh terbang, doktor haiwan di Singapura menggunakan teknik "sambungan bulu" khas untuk memulihkan sayapnya dan lepaskan mereka kembali terbang di langit.

Proses ini, dikenali sebagai imping, iaitu pembaikan bulu yang rosak dengan memasang bulu baru, digunakan doktor haiwan di hospital burung di Taman Burung Jurong pada seekor helang pada 20 Januari lalu.

Burung pemangsa itu, yang terancam di negara ini, diselamatkan Lembaga Taman Negara (NParks) pada 7 Januari lalu setelah ia ditemui dengan kerosakan arus udara panas pada kesemua bulu pada sayap dan ekornya yang penting untuk terbang, lapor The Straits Times.

Ia kemudian dihantar ke hospital bagi pemeriksaan lanjut, dan didapati dalam keadaan kesihatan yang baik, selain bulunya yang terbakar, disyaki akibat gas panas atau nyala api.

Jurucakap bagi taman itu berkata:

"Meskipun burung akan tumbuh bulu baru secara semula jadi melalui kitaran penyalinan bulu, ia boleh mengambil masa sehingga 12 bulan bagi helang itu tumbuh bulu sepenuhnya dan dapat terbang lagi."

Ini satu masalah kerana usaha menyimpan burung liar dalam kurungan ada risikonya, seperti menyebabkan tekanan terhadap burung itu atau burung itu menjadi terlalu bergantung pada jagaan manusia.

"Pasukan veterinar memutuskan membaiki bulu yang rosak dengan memasang bulu baru pada bulu sayap dan ekornya untuk membantu mempercepatkan proses melepaskan burung itu kembali ke alam liar," kata jurucakap itu.

Proses itu, yang dianggap berusia berabad-abad lamanya dengan akar dalam falkonri purba, melibatkan penyambungan baki bulu yang rosak kepada bulu baru pada tulang bulunya.

Bulu baru disambung dengan memasukkan jarum, yang dibuat daripada buluh atau bahan lain, dan dipasang menggunakan pelekat.

Dr Ellen Rasidi, doktor haiwan di Taman Burung Jurong, membandingkan amalan ini seperti manusia mendapatkan sambungan rambut.

"Bagaimanapun, berbeza dengan sambungan rambut, kita perlu lebih teliti dalam memastikan setiap penggantian bulu dipotong, diukur dan diaturkan secara berhati-hati pada tempat yang betul untuk padankannya dengan panjang dan orientasi bulu asal pesakit sebanyak mungkin," kata Dr Rasidi.

Ini kerana bulu yang dipasang secara salah dan pada sudut yang salah akan menjejas keupayaan burung untuk terbang.

Selain itu, bulu yang diderma lebih baik jika ia dari spesies yang sama.

Lebih 50 bulu pada sayap dan ekor helang yang diselamatkan itu berjaya dipasang dengan bulu baru menggunakan penyepit buluh.

Selepas menyesuaikan diri dengan bulu barunya, helang itu dilepaskan sehari kemudian pada 21 Januari.

Berdasarkan alat penjejakan satelit yang dipasang pada ekor helang itu sebelum ia dilepaskan, burung itu telah terbang sekurang-kurangnya 10 kilometer dari tapak pelepasan.

Alat penjejakan itu dijangka gugur bersama bulu yang dibaiki burung itu sedang ia tumbuh bulu baru melalui kitaran penyalinan bulu, dengan kedua-dua ciptaan manusia itu memenuhi tujuannya.

Untuk memasang bulu, Taman Burung Jurong mendekati badan amal perlindungan haiwan Acres dan NParks untuk mendapatkan sayap penderma yang sesuai dari helang yang mati akibat kecederaan teruk atau penyakit.

Mujur, Acres menemui seekor helang yang mati di jalan raya pada 11 Januari dan mendermakannya kepada taman itu.

Encik Kalai Vanan, ketua eksekutif bersama Acres, berkata meskipun ia penderma yang sesuai, tidak semua bangkai layak menjadi penderma bulu.

Encik Kalai berkata: "Kami hanya menemui penderma sesuai sekali-sekala kerana bukan hanya penemuan sedemikian bergantung pada nasib, bangkai ini juga perlu dinilai bagi mutu bulu mereka.

"Hanya burung dewasa dengan bulu yang sudah tumbuh sepenuhnya saja boleh digunakan. Bulunya juga mesti tidak rapuh dan tidak dijangkiti parasit seperti hama."

Acres juga memulakan sebuah bank bulu pada pertengahan tahun lalu untuk memastikan terdapat stok sayap penderma bagi burung diselamatkan yang memerlukannya.

Sekitar 30 set sayap dan ekor spesies burung berlainan telah dibekukan bagi penggunaan kemudian.

Dr Venisri Raj, doktor haiwan kanan di Acres, berkata: "Kami tidak selalu mempunyai bulu bagi sesetengah spesies, dan kadangkala, menanti bagi penderma yang baik boleh bermakna burung yang memerlukannya perlu menunggu masa yang lama dalam kurungan.

"Oleh itu, apabila kami terjumpa bangkai dengan bulu yang sempurna, kami pasti cuba memeliharanya."

"Bagaimanapun, berbeza dengan sambungan rambut, kita perlu lebih teliti dalam memastikan setiap penggantian bulu dipotong, diukur dan diaturkan secara berhati-hati dalam tempat yang betul untuk padankannya dengan panjang dan orientasi bulu asal pesakit sebanyak mungkin." - Dr Ellen Rasidi, doktor haiwan di Taman Burung Jurong, yang membandingkan amalan ini seperti manusia mendapatkan sambungan rambut.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg