WABAK Covid-19 ternyata menjejas norma-norma yang biasa diamalkan sebelum ini.

Namun ia juga membuka lembaran baru kepada amalan-amalan yang dilakukan setiap hari.

Jika dahulu rata-rata semua kelas, kuliah dan kursus dihadiri secara fizikal, kini penggunaan teknologi seperti dalam talian menjadi basahan kepada hampir seluruh penduduk negara ini.

Begitu juga dengan kursus-kursus umrah yang dianjurkan agensi-agensi haji dan umrah (GSA) seperti Jalaluddin Travel & Services, yang banyak menerapkan penggunaan teknologi dalam penganjuran kursus umrah mereka.

Malah, meskipun selepas kelas-kelas dibenarkan dibuka secara fizikal, masih terdapat beberapa jemaah agensi tersebut yang sudah agak selesa dengan menghadiri kelas secara dalam talian.

Semasa dihubungi, Pengarah Eksekutif Jalaluddin Travel & Services, Ustaz Abdul Rahim Ramlee, 38 tahun, berkata perbezaan amalan sejak pandemik Covid-19 melanda amat ketara dalam penggunaan teknologi, selain prosedur operasi piawai yang perlu dipatuhi semasa menghadiri kelas.

"Kami mula 'buka kelas' sejak Oktober tahun lalu - tapi secara dalam talian.

"Memang rasanya ada jemaah yang agak tidak biasa dengan norma sedemikian, namun kami yakinkan mereka bahawa ini demi keselamatan ramai.

"Alhamdulillah, rata-rata semua dapat menerima hakikat ini selain membiasakan diri dengan memupuk norma baru ini dalam kehidupan masing-masing, hasil kerjasama anggota keluarga mereka juga.

"Dan selepas kelas dibuka secara fizikal, ada yang merasakan lebih selesa untuk terus mengikutinya secara dalam talian.

"Mereka selesa berada di rumah sebelum keberangkatan, agar dapat kekalkan kesihatan sebelum keberangkatan," katanya semasa dihubungi Berita Harian.

Meskipun begitu, jemaah juga kini tampil secara fizikal untuk taklimat ringkas selain mengambil barangan dan keperluan umrah bagi pakej umrah masing-masing, kata Ustaz Abdul Rahim, yang telah bersama Jalaluddin Travel & Services sejak 11 tahun lalu.

Ditanya tentang kenaikan kos pakej umrah akibat wabak Covid-19, Ustaz Abdul Rahim menganggarkan kenaikan mencecah antara 20 hingga 25 peratus.

Kenaikan ini juga diakibatkan cukai yang meningkat yang dikenakan pihak Arab Saudi, kata beliau.

Meskipun demikian, sejauh ini dianggarkan sekitar 10 kumpulan jemaah berangkat mengikuti pakej-pakej umrah Jalaluddin Travel & Services sejak Disember lalu sehingga bulan depan (Mac).

Buat masa ini, kos pakej umrah yang dikenakan Jalaluddin Travel & Services adalah antara $3,550 dengan $4,050 seorang.

Kos-kos tersebut termasuk tiket penerbangan, pengangkutan darat, penginapan, makan tiga kali sehari, ujian reaksi rantai polimerase (PCR) di Arab Saudi, insurans Covid-19 di Arab Saudi, mutawwif dan pembimbing semasa di Tanah Suci serta ziarah ke beberapa tempat bersejarah.

Yang pasti, kini jemaah hanya perlu menjalani PCR 48 jam sebelum keberangkatan ke Arab Saudi, dan tidak dikenakan PCR semasa ketibaan di Lapangan Terbang Changi selepas pulang umrah.

Semasa dihubungi, salah seorang jemaah yang mengikuti rombongan bersama Jalaluddin Travel & Services pada Disember lalu, Encik Md Zubaidi Rasi, 54 tahun, bersama isterinya, Cik Rahayu Sudin, 51 tahun, melahirkan rasa puas hatinya dengan kelas-kelas kursus umrah yang dianjurkan agensi tersebut.

"Saya bekerja secara syif, maka sekiranya saya tertinggal satu kelas, saya masih boleh mengikutinya secara dalam talian.

"Lagi pun saya rasa selesa ikuti kelas di rumah dalam suasana yang saya biasa," kata pegawai penyelenggaraan pesawat itu lagi.

Pasangan yang mempunyai tiga anak itu mengikuti rombongan selama 12 hari bersama agensi tersebut.

Pada 14 Disember lalu, Pengarah Urusan Jalaluddin Travel & Services, Ustaz Jalaluddin Hassan, meninggal dunia di Makkah, Arab Saudi.

Allahyarham, yang juga Naib Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (Amtas), dilaporkan mengadu sakit belakang pada sekitar 2 pagi.

Beliau dibawa ke klinik swasta AlBayt di Kompleks Menara Zam-Zam tetapi klinik itu ditutup. Ustaz Jalaluddin rebah di sana.

Jenazahnya dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan sebelum dikebumikan selepas solat asar dan dimakamkan di perkuburan Ma'la.

"Kami mula 'buka kelas' sejak Oktober tahun lalu - tapi secara dalam talian. Memang rasanya ada jemaah yang agak tidak biasa dengan norma sedemikian, namun kami yakinkan mereka bahawa ini demi keselamatan ramai. Alhamdulillah, rata-rata semua dapat menerima hakikat ini selain membiasakan diri dengan memupuk norma baru ini dalam kehidupan masing-masing, hasil kerjasama anggota keluarga mereka juga.'' - Pengarah Eksekutif Jalaluddin Travel & Services, Ustaz Abdul Rahim Ramlee.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti