Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Telinga rasa geli... rupanya ada serangga ‘inap’ di dalam selama 5 bulan

Aug 21, 2023 | 3:34 PM
SERANGGA DALAM TELINGA: Doktor menggunakan sepasang penyepit kecil untuk mengeluarkan serangga tersebut.
SERANGGA DALAM TELINGA: Doktor menggunakan sepasang penyepit kecil untuk mengeluarkan serangga tersebut. - Foto RABI’ATUL’ADAWIYYAH SALEH

Beliau rasa seperti ada yang tidak kena dalam telinganya tetapi memilih untuk tidak terlalu memikirkan hal tersebut.

Namun sekitar lima bulan kemudian ketika wanita berusia 28 tahun itu sedang menjalani rutin mengeluarkan tahi telinga di klinik di mana muncul pula ‘makhluk kecil’ yang tidak diingini: seekor serangga terbang.

Menceritakan pengalaman tersebut menerusi akaun Instagramnya, Cik Rabi’atul’adawiyyah Saleh berkata:

“Saya selalu tonton video proses mengeluarkan tahi telinga (melibatkan) kumbang di TikTok, tak sangka pula ia berlaku kepada diri saya sendiri.”

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Rabi’atul’adawiyyah berkata beliau rasa seolah-olah ada ‘benda’ yang terbang masuk telinganya semasa Ramadan lalu, tetapi beliau tidak mengendahkannya.

Sebaliknya beliau anggap perasaan ‘menggelikan’ dalam telinganya itu adalah disebabkan tahi telinga, justeru menggunakan ubat cecair khas buat tahi telinga bagi mengatasi perasaan tersebut.

Beliau kemudian menjalani kehidupan seperti biasa tanpa menyangka bahawa ada makhluk lain sedang ‘menginap’ dalam telinganya.

Cik Rabi’atul’adawiyyah berkata beliau mengalami jenis tahi telinga kering justeru perlu selalu menggunakan ubat cecair telinga untuk melembutkannya dan ke doktor untuk melakukan proses membersihkan telinga.

Lima bulan setelah rasa seolah-olah ada ‘benda’ yang terbang ke dalam telinganya, wanita yang bekerja dalam sektor kewangan itu berkata doktor melakukan proses pembersihan bagi kedua-dua telinganya.

Namun setelah membersihkan telinga kanannya, masih ada ‘tahi telinga’ lagi lalu doktor menggunakan sepasang penjepit untuk mengeluarkannya.

“Saya terperanjat. Wow, telinga saya ada kumbang,” katanya.

Dihubungi BH, doktor keluarga, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, berkata gejala serangga masuk telinga adalah telinga akan terasa sakit, ada bunyi bising kerana serangga bergerak atau mengembangkan sayapnya.

Gigitan serangga boleh menyebabkan rasa bisa dalam telinga, katanya.

Sekiranya ia berlaku, Dr Zuraimi menasihati orang ramai agar baring miring lalu menuangkan minyak zaitun atau minyak makan sampai tertutup lubang telinga.

Selanjutnya, tunggu lima hingga 10 minit hingga pergerakkan serangga berhenti, kerana ini bermakna serangga itu lemas dalam minyak, kata beliau.

“Jumpa doktor untuk keluarkan serangga. Kalau serangga tidak dimatikan ia boleh bertelur. Lebih baik dikeluarkan segera,” nasihatnya.

Dr Zuraimi menambah bahawa orang ramai dinasihati agar tidak cuba mengeluarkan serangga itu ketika ia masih hidup.

Ini kerana melakukan demikian boleh melukakan saluran telinga memandangkan serangga akan cuba menentang, jelasnya.

CERITA PENGALAMAN: Cik Rabi’atul’adawiyyah berkongsi pengalamannya mendapat tahu ada serangga di dalam telinga.
CERITA PENGALAMAN: Cik Rabi’atul’adawiyyah berkongsi pengalamannya mendapat tahu ada serangga di dalam telinga. - Foto INSTAGRAM labi_xx
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg