Sekitar 120 anak penyu sisik (hawksbill turtle) yang sangat terancam berjaya menetas dan keluar dari sarang mereka di pantai East Coast lalu menuju ke laut.
Mereka berbuat demikian di bawah pengawasan pegawai pemuliharaan Lembaga Taman Negara (NParks) pada pagi Isnin.
Ini merupakan kali pertama tahun ini penyu menetas dari sarang yang dipantau.
“Kami dimaklumkan oleh orang awam yang ternampak seekor penyu bersarang dan kami turun dan menemui sarang itu.
“Kami meletakkan jaring di atas telur-telur itu untuk memastikan pemangsa semula jadi seperti biawak benggala (monitor lizard) tidak dapat mendekati mereka,” kata Encik Collin Tong, timbalan pengarah cawangan pantai dan kelautan di NParks.
Para pegawai mengambil ukuran anak-anak penyu untuk menentukan tahap kesihatan mereka.
Penyu sisik adalah salah satu daripada dua spesies penyu laut yang boleh ditemui di perairan Singapura, lapor The Straits Times.
Setiap tahun, beberapa ekor penyu sisik betina kembali ke pantai Singapura untuk bertelur.
Untuk meningkatkan peluang anak penyu untuk terus hidup, NParks telah menubuhkan pusat penetasan penyu di Pulau Subar Darat (Small Sister’s Island) pada 2018 untuk menyediakan persekitaran yang selesa bagi anak penyu untuk mengeram, menetas dengan selamat dan menuju ke laut.
Profesor Leo Tan, Profesor Emeritus di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pengerusi Dana Garden City, berkata:
“Jika anak-anak penyu ini dapat hidup, sebahagian daripada mereka akan kembali 30 tahun dari sekarang untuk bersarang.”
Penyu sisik adalah spesies yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar dan orang awam tidak dibenarkan mengutip anak penyu atau telur.
Orang ramai yang ternampak anak penyu atau penyu yang bertelur dinasihatkan supaya menjaga jarak yang selamat, mengurangkan tahap bunyi dengan bercakap dengan perlahan dan mengelak daripada menyentuhnya.
Untuk maklumat lanjut tentang perkara yang perlu dilakukan apabila bertemu haiwan ini, sila kunjungi www.go.gov.sg/turtle-advisory.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg