Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teman Warisan pupuk bakat, iktiraf penggiat seni muda

Dec 11, 2022 | 5:30 AM
DILANTIK SEBAGAI TEMAN WARISAN: Cik Nur Shireen Marican (kiri), dan Cik Rosemainy Buang (dua dari kiri), bersama tetamu terhormat, Cik Som Said (dua dari kanan), dan Pengerusi MHF, Encik Nurshahril Saat, bergambar semasa Hari Warisan anjuran MHF semalam. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA
DILANTIK SEBAGAI TEMAN WARISAN: Cik Nur Shireen Marican (kiri), dan Cik Rosemainy Buang (dua dari kiri), bersama tetamu terhormat, Cik Som Said (dua dari kanan), dan Pengerusi MHF, Encik Nurshahril Saat, bergambar semasa Hari Warisan anjuran MHF semalam. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA -

MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya. Begitu juga keadaannya dalam memupuk minat, bakat dan usaha mempertingkat kerja seni dan sumbangan penggiat seni muda di sini agar mereka lebih galak menyumbang dan berbakti kepada masyarakat dengan cara tersendiri.

Atas keyakinan ini, Hari Warisan, anjuran Yayasan Warisan Melayu (MHF) yang diadakan semalam di Wisma Geylang Serai dan diperkenalkan pada 2021, mengiktiraf dan menghargai pengamal dan aktivis muda yang memperjuangkan budaya dan warisan.

"Ini adalah wadah dan peluang untuk artis muda belajar daripada pengalaman veteran yang lebih mantap. Dengan ini, MHF juga berharap penggiat seni Singapura mengetahui perkembangan dan inisiatif terkini untuk membantu mereka melebarkan sayap di peringkat antarabangsa dan kekal relevan," kata Pengerusi MHF, Encik Norshahril Saat.

Tahun ini, tiga penggiat seni muda dilantik sebagai 'Teman Warisan' atas usaha dan kerja-kerja berkaitan kebudayaan.

Salah seorang daripada mereka, Encik Ahmad Hasif Mohammad Amran, 24 tahun, adalah mahasiswa jurusan Sejarah di Universiti Teknologi Nanyang, dan merupakan ahli panel belia Lembaga Warisan Negara (NHB) dan terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarelawan.

Seorang lagi ialah pengurus dan pendidik kebudayaan, Cik Nur Shireen Marican, 27 tahun, yang ingin memajukan penglibatan orang ramai dalam budaya.

Teman Warisan ketiga ialah Cik Rosemainy Buang, 34 tahun, pemuzik, pendidik dan pengubah lagu yang aktif dalam muzik Gamelan.

Budayawan mapan, yang juga penerima Anugerah Jauhari dan Pingat Budaya, Cik Som Said, adalah tetamu terhormat acara Hari Warisan, semalam.

"Ini adalah wadah yang baik untuk membangkitkan semangat penggiat muda apabila sumbangan mereka diberi pengiktirafan," katanya.

Dalam pada itu, sebuah lukisan oleh pelukis tempatan, Shafyre, yang dinamakan 'Warisan', akan dilelong dan hasil keuntungan akan disalurkan kepada projek dan daya usaha Yayasan Warisan Melayu akan datang.

Lukisan itu terbuka untuk pembelian awam dari hari ini hingga 14 Januari depan, bermula dari harga yang ditetapkan pada $16,500. Lukisan itu akan ditempatkan di Restoran Permata, Sultan Gate dari 2 hingga 14 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg