Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Temasek tubuh tiga badan urus segmen portfolio

Aug 28, 2025 | 7:21 PM
Temasek, pelaburan, portfolio
CEO dan Pengarah Eksekutif Temasek, Encik Dilhan Pillay, berucap semasa taklimat media pada 28 Ogos. - Foto ST

Syarikat pelaburan Singapura, Temasek, akan menjalani penyusunan semula dan menubuhkan tiga entiti untuk mengurus tiga segmen portfolio berbeza.

Langkah tersebut diambil di tengah-tengah keadaan tidak menentu yang kian meningkat di seluruh dunia, dan perubahan ekonomi dalam landskap makro, menurut Temasek pada 28 Ogos.

Tiga segmen portfolio tersebut ialah pelaburan langsung sejagat; Syarikat Portfolio Temasek (TPC) yang berpangkalan di Singapura; dan Perkongsian, Dana, dan Syarikat Pengurusan Aset (PFA).

Bagi mengurus ketiga-tiga segmen tersebut, Temasek akan menubuhkan tiga entiti milik penuhnya yang dikenali sebagai Temasek Global Investments, Temasek Singapore for TPC, dan Temasek Partnership Solutions for PFA, berkuat kuasa 1 April 2026.

Usaha tersebut dijangka mendorong pertumbuhan Temasek sedang syarikat itu terus membina portfolio yang berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif Temasek, Encik Dilhan Pillay, berkata dalam satu taklimat media:

“Dunia sememangnya berubah dari semasa ke semasa, tetapi kita telah melalui tempoh yang agak stabil sepanjang 30 tahun lalu, terutamanya sejak wujudnya Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO)... dan dengan itu, struktur organisasi kami agak stabil sepanjang 20 tahun lalu.”

Namun, keadaan telah berubah bagi ramai pihak, sama ada pemerintah, syarikat, syarikat berbilang negara (MNC), syarikat domestik, malah individu dan masyarakat, lapor The Straits Times (ST).

“Oleh itu, kami sememangnya perlu menyusun semula struktur organisasi kami untuk persekitaran baru ini dan tiga entiti portfolio ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa perkara paling penting ialah memastikan Temasek disesuaikan bagi menghadapi perubahan yang mungkin berlaku pada masa depan, sambil menjadi lebih tangkas dan cekap.

Temasek juga sentiasa berubah sepanjang 50 tahun lalu, dan biasanya ketika berlaku krisis, tambah Encik Pillay.

“Bak pepatah lama yang berbunyi, jangan sesekali mensia-siakan krisis. Kami memastikan kami tidak mensia-siakan apa yang berlaku hari ini dalam persekitaran sejagat,” katanya.

Sehingga Mac 2025, TPC yang berpangkalan di Singapura membentuk 41 peratus daripada portfolio Temasek, manakala pelaburan langsung sejagat membentuk 36 peratus dan PFA pula menyumbang 23 peratus.

Dalam pada itu, Temasek mengumumkan bahawa Timbalan Ketua Eksekutif syarikat itu, Encik Chia Song Hwee, akan menjadi CEO bersama bagi syarikat tersebut, berkuat kuasa 1 Oktober 2025, sebagai sebahagian usaha penyusunan semula Temasek.

Encik Chia, 62 tahun, yang menyertai Temasek pada 2011, akan bekerjasama dengan Encik Pillay bagi membantu syarikat pelaburan itu menghadapi persekitaran sejagat yang berubah dan melaksanakan struktur baru tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg