JEMAAH tidak lagi perlu membuat tempahan untuk solat tarawih setiap malam di 10 masjid pada Ramadan ini.

Pada Selasa (28 Mac), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengumumkan di Facebook bahawa tempahan tidak lagi diperlukan di masjid-masjid ini kerana ruang solat yang mencukupi tersedia.

10 masjid tersebut ialah Masjid Al-Islah, Masjid Al-Istighfar, Masjid Al-Taqua, Masjid Darul Ghufran, Masjid An-Nur, Masjid Darul Makmur, Masjid Yusof Ishak, Masjid Al-Abrar, Masjid Tasek Utara dan Masjid Al-Khair.

Awal bulan ini (Mac), Muis mengumumkan tempahan masih diperlukan meskipun ia menyediakan 98,550 ruang di 67 masjid sepanjang Ramadan dengan permintaan yang tinggi di 10 masjid yang tersebut di atas ini.

Bagaimanapun, selepas memantau kehadiran jemaah untuk solat tarawih sejak beberapa malam lalu, Muis berkata pada Selasa bahawa kehadiran sebenar di sembilan daripada 10 masjid telah merosot kepada paras di bawah 70 peratus.

Ia menambah bahawa semua tempahan untuk solat isyak dan tarawih bagi baki malam Ramadan akan dibatal secara automatik.

"Terima kasih atas kerjasama berterusan anda, dan marilah kita terus memastikan masjid kita selamat, bersih dan tenang sepanjang bulan Ramadan yang penuh barakah ini dan pada bulan-bulan seterusnya," kata Muis.