TEMPAT kosong di pusat penjagaan bagi bayi berusia dua hingga 17 bulan meningkat sebanyak 66 peratus dalam tempoh lima tahun.
Sebanyak 10,500 tempat disediakan bagi golongan usia tersebut pada 2020 berbanding 6,200 tempat pada 2015, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) baru-baru ini.
Tambahnya, tempat kosong di pusat penjagaan kanak-kanak dan bayi di Punggol dan Sengkang menyaksikan peningkatan sebanyak 90 peratus.
ECDA juga bakal menambah lebih 10,000 tempat kosong bagi prasekolah sepenuh masa baru pada 2023.
Ini akan ditumpukan kepada "kawasan dengan lebih banyak keluarga muda".
Namun ia tidak menjelaskan berapa banyak tempat diperuntukkan bagi penjagaan bayi.
Permintaan yang meningkat untuk mendapatkan tempat di pusat penjagaan bayi disebabkan beberapa faktor termasuk keinginan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka dapat meraih pendidikan awal yang lebih baik.
AKTIVITI MENARIK SETIAP HARI
Cik Rozana Ishak, yang berusia lingkungan 30-an, berkata beliau berasa senang hati kerana pendidik di pusat penjagaan dilatih dan mengendalikan pelbagai aktiviti menarik setiap hari.
Anaknya, Amirah Naura, 19 bulan, telah menamatkan tempoh penjagaan di pusat penjagaan untuk bayi baru-baru ini di PCF Sparkletots @ Sengkang East di Blok 103.
Menurut Cik Rozana, meskipun beliau dan suaminya tidak dapat menyaksikan perkembangan anak mereka itu kerana bekerja sepenuh masa, pendidik di pusat penjagaan biasanya akan menghantar gambar atau video Amirah.
Ini termasuk apabila beliau dapat duduk sendiri pada usia sekitar lima bulan dan bertutur sepatah perkataan pada usia sekitar 18 bulan.
Menurut PCF, pendidiknya akan memberitahu ibu bapa Amirah mengenai milestones dan kemahiran yang perlu dicapai Amirah pada tempoh tertentu apabila mereka bertemu, supaya ibu bapanya boleh mempraktikkannya di rumah.
Menyentuh tentang pilihan untuk menghantar anak kecil mereka ke pusat penjagaan, Naib Presiden Kurikulum & Penyelidikan di Pre-School By-The-Park, Dr Geraldine Teo-Zuzarte, berkata:
"Membuat keputusan sama ada ingin menghantar anak kecil ke pusat penjagaan biasanya diikuti rasa bersalah atau ragu-ragu, terutama sekali bagi ibu bapa baru."
Namun pada masa yang sama, kajian menunjukkan bahawa "kanak-kanak yang dijaga di pusat penjagaan bayi tidak menunjukkan prestasi yang lebih teruk berbanding kanak-kanak yang dijaga di rumah," kata Dr Teo-Zuzarte.
Beliau juga merupakan Felo ECDA yang bekerjasama dengan agensi itu untuk meningkatkan mutu sektor tersebut.
PASTIKAN PERALIHAN JALAN LANCAR
Memastikan peralihan dari rumah ke pusat penjagaan berjalan lancar amat penting, dan ibu bapa perlu mengambil tahu cara pusat tersebut menjalankan proses itu, katanya.
"Jelaskan kepada mereka tentang cara komunikasi pilihan anda, dan jika boleh, anda juga boleh menerapkan apa yang diamalkan di pusat tersebut.
"Usaha membina hubungan yang kukuh dengan pusat penjagaan bayi memerlukan masa.
"Usaha pada bulan-bulan awal apabila anda menghantar anak ke pusat penjagaan bayi akan memanfaatkan bukan sahaja mereka malah turut memberikan anda ketenangan apabila anda tahu dia dijaga oleh profesional yang dipercayai," kata Dr Teo-Zuzarte.
"Jelaskan kepada mereka tentang cara komunikasi pilihan anda, dan jika boleh, anda juga boleh menerapkan apa yang diamalkan di pusat tersebut. Usaha membina hubungan yang kukuh dengan pusat penjagaan bayi memerlukan masa. Usaha pada bulan-bulan awal apabila anda menghantar anak ke pusat penjagaan bayi akan memanfaatkan bukan sahaja mereka malah turut ` memberikan anda ketenangan apabila anda tahu dia dijaga oleh profesional yang dipercayai.'' - Naib Presiden Kurikulum & Penyelidikan di Pre-School By-The-Park, Dr Geraldine Teo-Zuzarte.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg