SEKURANG-KURANGNYA 12,000 tempat mengecas kenderaan elektrik (EV) akan dipasang di semua tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang akhir 2025, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan semalam.
LTA telah menganugerahkan tender kepada lima pengendali bagi pemasangan tempat mengecas tersebut, yang meliputi hampir 2,000 tempat letak kereta HDB di serata Singapura.
Apabila siap kelak, setiap bandar HDB akan mempunyai tempat mengecas EV, kata LTA.
Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, semasa berucap di pembukaan Kongres dan Pameran Pengangkutan Antarabangsa Singapura di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura semalam memberi maklumat terkini mengenai pendaftaran kereta EV.
Menurut beliau, sejauh ini, EV membentuk lebih 10 peratus daripada semua pendaftaran kereta baru pada 2022.
Kadar pendaftaran EV bulanan pada September mencecah paras tertinggi sebanyak 19 peratus.
"Kadar itu hampir tiga kali ganda jika dibandingkan dengan kadar pendaftaran EV pada 2021.
"Dalam jangkaan bagi peningkatan itu serta menyokong keperluan EV yang semakin meningkat, pemerintah akan mengutamakan peningkatan dalam pembangunan rangkaian pengecasan EV nasional," ujar beliau.
Tender yang dilancarkan pada April itu disifatkan sebagai "detik penting" dalam rancangan LTA untuk memperhebatkan prasarana mengecas EV.
Pemerintah menetapkan sasaran untuk memasang 60,000 tempat mengecas EV di merata Singapura menjelang 2030, dengan 40,000 daripadanya dipasang di tempat letak kereta awam dan lagi 20,000 di premis-premis privet.
Lima pengendali yang dipilih ialah: Charge+ Pte Ltd; ComfortDelGro Engineering Pte Ltd; SP Mobility Pte Ltd; Shell Eastern Petroleum Pte Ltd dan Strides Automotive Services Pte Ltd.
Mereka bertanggungjawab memasang tempat mengecas EV di tempat letak kereta HDB di bahagian utara, timur laut, timur, barat dan kawasan tengah Singapura.
"Untuk mengukuhkan daya tahan rangkaian pengecasan EV, setiap kawasan telah diberikan kepada dua pengendali, dan setiap pengendali diberikan dua kawasan," kata LTA.
Menurut LTA, ia menerima 11 bidaan daripada "pelbagai pengendali cas EV" sambil menambah bahawa syarikat-syarikat berkenaan dinilai berdasarkan gabungan beberapa faktor, seperti mutu pelan mereka.
"Sebagai sebahagian daripada pemeriksaan mutu pelan mereka, syarikat-syarikat itu juga dinilai berdasarkan keupayaan menggunakan kapasiti bekalan elektrik dengan baik untuk menjana tempat mengecas EV," menurut LTA.
Selain itu, Encik Iswaran turut menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan sistem pengangkutan lebih hijau, pihak pemerintah sedang meningkatkan sistem pengangkutan awam, yang disifatkan Encik Iswaran sebagai "pengangkutan awam yang paling mampan dari segi alam sekitar".
Perluasan rangkaian rel sedang dijalankan, dengan stesen-stesen MRT baru dijangka dibuka setiap tahun bagi 10 tahun mendatang.
Pada 13 November, 11 stesen di bawah peringkat ketiga Laluan Thomson-East Coast akan dibuka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg