Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tempat singgah burung hijrah di estet Bidadari dikekal

May 22, 2023 | 5:30 AM
HAIWAN DILINDUNGI: HDB bekerjasama dengan NParks bagi mengekalkan anak bukit di Bidadari ini bagi burung hijrahan. - Foto HDB
HAIWAN DILINDUNGI: HDB bekerjasama dengan NParks bagi mengekalkan anak bukit di Bidadari ini bagi burung hijrahan. - Foto HDB -

ANAK bukit di estet Bidadari yang dikekalkan bagi menjadi tempat persinggahan burung yang berhijrah di sepanjang Laluan Terbang Asia Timur-Australasia akan dibuka kepada orang ramai secara berperingkat mulai hujung tahun ini.

Keputusan mengekalkan anak bukit itu dibuat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam kerjasamanya dengan Lembaga Taman Negara (NParks) ketika merancang dan mereka bentuk estet itu.

HDB dan NParks bekerja bersama Persatuan Alam Semula Jadi (Singapura) untuk meneroka cara menyepadukan pembangunan dengan alam sekitar.

"Matlamatnya ialah mengekalkan fungsi kawasan itu sebagai tempat tumpuan biodiversiti sebanyak mungkin," kata HDB dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terletak antara projek perumahan Woodleigh Glen dengan Woodleigh Hillside, anak bukit seluas satu hektar itu menjadi tempat perlindungan bagi burung semasa musim penghijrahan tahunan dari Oktober hingga April, dan membentuk sebahagian daripada rangkaian kehijauan dan kawasan lapang yang lebih besar dalam estet itu.

Saranan lain oleh Persatuan Alam Semula Jadi (Singapura) yang diterima ialah membina jambatan selebar 19 meter untuk menjadi penghubung eko dari anak bukit itu ke Taman Bidadari seluas 12 hektar di seberang jalan.

Spesies pokok renek dan pokok tertentu dipilih untuk mewujudkan laluan sesuai bagi fauna seperti rama-rama dan burung untuk bergerak antara dua taman itu melalui jambatan tersebut.

Jambatan itu juga mempunyai laluan berjalan kaki, menjadikannya sambungan lancar antara dua taman itu kata HDB.

Selain itu, pokok matang sedia ada, seperti pokok tembusu dan pokok saga, juga akan dikekalkan kerana pokok-pokok itu menawarkan tempat bersarang yang sesuai dan memainkan peranan penting dalam menggalak biodiversiti.

HDB dan NParks juga akan menanam semula sekitar 300 pokok baru dan lebih 7,500 pokok renek di kawasan anak bukit itu untuk melengkapi tumbuh-tumbuhan sedia ada dan mewujudkan habitat pelbagai burung baru dan pelbagai sumber makanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg