Tempoh kuarantin Covid-19 dikurangkan kepada 10 hari kerana tempoh inkubasi lebih singkat varian Delta
Tempoh kuarantin Covid-19 dikurangkan kepada 10 hari kerana tempoh inkubasi lebih singkat varian Delta
TEMPOH kuarantin bagi mereka yang berisiko terdedah pada Covid-19 akan dipendekkan dari 14 hari kepada 10 hari, kata pasukan bertindak berbilang kementerian tentang Covid-19 di Singapura pada Jumaat (10 September).
Ini adalah bagi menangani tempoh inkubasi varian Delta yang lebih pendek. Tempoh ini akan berkuatkuasa mulai minggu depan.
Pasukan bertindak itu berkata, varian Delta mempunyai tempoh inkubasi empat hari atau kurang daripada itu secara purata, berbanding purata enam hingga lapan hari bagi varian asal.
Ini bererti dengan varian Delta ini, ia mengambil masa sekitar empat hari selepas pendedahan virus itu dikesan dalam individu berkenaan.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata dalam kenyataannya bahawa tempoh kuarantin akan dikurangkan kepada 10 hari dari tarikh pendedahan sebelumnya, asal sahaja mereka yang dikuarantin diuji negatif Covid-19 pada penghujung tempoh kuarantin.
Individu ini perlu terus menjalanI ujian pantas antigen secara harian dari selepas tempoh kuarantin kepada hari ke-14 bagi mengekang sebarang risiko jangkitan.
Pengarah khidmat perubatan Singapura, Kenneth Mak, berkata Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit mendapati mereka yang dijangkiti varian Delta mungkin mempunyai muatan virus tinggi pada fasa awal jangkitan.
Profesor Madya Mak menambah: "Ini khususnya buat mereka yang belum menjalani vaksinasi tetapi dijangkiti. Dan mereka mempunyai tempoh proses pengikisan virus yang lebih diperpanjangkan berbanding varian lain.
"Ini menyumbang pada keseluruhan keupayaan jangkitan bertambah yang dilihat sejajar dengan varian ini."
MOH berkata perubahan pada tempoh kuarantin ini tidak tertakluk buat penghuni dormitori buat masa ini kerana risiko jangkitan lebih besar, melihat pada urusan penginapan berkohort mereka.
Beberapa sektor mungkin mempunyai ketetapan tambahan kerana keperluan unik ini.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) buat pengunjung yang datang ke Singapura kekal pada 14 hari.
MOH berkata sedang angka kes jangkitan bertambah, sumber jejak kontak akan diutamakan agar tertumpu pada usaha mengekang kelompok besar pada suasana berisiko tinggi dan mudah dijangkiti.
Data TraceTogether akan digunakan bagi mengenal pasti kontak rapat kes Covid-19 yang akan diberi amaran risiko kesihatan atau pemberitahuan risiko kesihatan.
Individu ini harus diuji bagi mengurangkan risiko merebaknya penyakit, jelas MOH.
Profesor Mak menambah: "Kami tidak mengetepikan proses jejak kontak. Ia akan diteruskan. Tetapi kami mula menyedari dalam proses jejak kontak ini...kami perlu memperbaiki proses kami bagi memastikan kami dapat mengenal pasti mereka yang benar-benar berisiko dijangkiti.
"Kami ingin menjadi lebih tertumpu pada sasaran, berkesan dan dapat mengenal pasti mereka yang berisiko lantas membawa mereka bagi sesi ujian atau protokol pengasingan secepatnya tanpa membuang sumber tambahan atau melihat-lihat keadaan orang lain."
MOH berkata anggota isi rumah kes Covid-19 yang disahkan akan diperlukan untuk kuarantin diri mereka sendiri.
Lebih banyak keterangan tentang urusan kuarantin diri dan sokongan buat orang-orang ini akan didedahkan kelak.
Kata MOH: "Secara keseluruhannya, peralihan dalam pendekatan kami termasuk penggunaan amaran risiko kesihatan, pemberitahuan risiko kesihatan dan kuarantin diri membolehkan kami mengekang risiko jangkitan lanjutan secara lebih mampan lagi.
"Ia memerlukan lebih tanggungjawab peribadi dengan setiap daripada kita memainkan peranan."

