DUIT boleh dicari, tetapi nyawa tiada gantinya. Itulah yang dirasakan Encik Haikel Fahim dan keluarganya.
Oleh itu, perbelanjaan besar bukan perkara paling utama bagi mereka apabila menerima berita bahawa keadaan bapa mertuanya yang dijangkiti Covid-19 ketika bekerja di Jakarta semakin teruk.
Mereka berusaha - termasuk berdepan kos $85,000 - hingga akhirnya dapat membawa Encik Abdul Rashid Sahari suami isteri, kededuanya warga Singapura, pulang ke sini.
Menurut Encik Haikel, bapa mertuanya, 64 tahun, masih bertarung nyawa di Unit Jagaan Rapi (ICU) Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID), tetapi telah menunjukkan kemajuan dan tidak lagi perlu menggunakan tiub untuk bernafas.
Encik Rashid, yang telah lama bekerja di sebuah syarikat loji kuasa di Jakarta, diuji positif bagi Covid-19 pada 30 November.
Isteri beliau, Cik Safiah Rawi, 56 tahun, yang berpindah ke Jakarta awal tahun ini, juga dijangkiti.
Pasangan itu dinasihati doktor supaya mengasingkan diri di rumah.
Menurut Encik Haikel, 34 tahun, di Indonesia hanya pesakit Covid-19 kritikal diberi keutamaan dirawat di hospital, dan hospital di sana kini terbeban serta kekurangan katil untuk menampung jumlah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.
Namun beberapa hari setelah diuji positif, kesihatan Encik Rashid merosot hingga bapa tiga anak perempuan itu mengalami kesukaran bernafas dan dimasukkan ke Hospital Mayapada, sebuah hospital swasta di Jakarta.
Merumitkan lagi keadaan, Encik Rashid dan isterinya terpisah. Cik Safiah tidak dibenarkan keluar rumah kerana menghidapi Covid-19, dan tiada cara bagi Encik Haikel sekeluarga di sini mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan Encik Rashid.
"Kami tidak diberi sebarang nombor telefon untuk menghubungi hospital itu... kami tidak tahu wad atau keadaannya. Tiada apa-apa langsung.
"Dari Singapura, kami harus pandai-pandai cari nombor telefon hospital, dan tidak putus cuba hubungi mereka apabila telah mendapatnya.
"Tetapi hanya esoknya kami dapat berbual bersama kakitangan hospital," kata Encik Haikel, yang bekerja di sebuah syarikat media dan perhubungan awam di Singapura.
Sejak panggilan itu, keadaan Encik Rashid bertambah teruk hingga beliau terpaksa bergantung pada sistem pembekalan oksigen high flow nasal cannula untuk bernafas.
Cik Safiah pula sendirian di rumah tanpa sesiapa memantau kesihatannya kecuali anak-anak di sini yang tidak henti bertanya khabar melalui panggilan video setiap jam.
Dengan kes Covid-19 di sana terus meningkat dan pasangan itu tiada kenalan rapat di Jakarta, Encik Haikel sekeluarga memutuskan membawa mereka pulang ke Singapura dan mendapatkan rawatan di sini.
Mereka mengaturkan pemindahan perubatan udara bagi ibu bapa mereka itu.
"Kami mendapat tahu kosnya sangat, sangat tinggi. Tapi kami fikir tidak mengapa, duit boleh dicari tetapi nyawa bapa kami lebih penting dan kami tidak tahu apa akan terjadi jika beliau dibiarkan saja," ujar Encik Haikel, bapa dua anak.
Namun, misi itu lebih rumit dan mencabar daripada yang disangka mereka. Pada hari pesawat mendarat di Jakarta untuk memindahkan Encik Rashid, hospital tidak membenarkan beliau dikeluarkan.
"Mereka mahu kami bayar bil hospital. Mujur, bos bapa mertua saya bantu selesaikan dahulu," kata Encik Haikel. Bil hospital itu berjumlah kira-kira $7,000.
Selepas itu, Encik Haikel sekeluarga diberitahu bahawa alat high flow nasal cannula tidak disediakan dalam pesawat.
"Bapa mertua saya tidak boleh dipindahkan ke Singapura melainkan keadaannya menjadi lebih teruk dan terpaksa menggunakan tiub untuk bernafas," cerita Encik Haikel, yang menyifatkan detik itu membuat mereka berasa tertekan.
"Ia adalah satu penantian. Kami tidak boleh lakukan apa-apa. Entah bagaimana, Allah membuat keputusan itu untuk kami."
Kesihatan Encik Rashid merosot hingga beliau terpaksa menjalani intubasi, yang membolehkan beliau dipindahkan ke Singapura.
Pada 7 Disember, Encik Rashid selamat tiba di Singapura dan dipindahkan ke NCID.
Tarikh itu sebenarnya memang hari Encik Rashid dan Cik Safiah telah merancang pulang ke Singapura selepas lama tidak bersua keluarga di sini akibat Covid-19.
"Kami sebenarnya sudah membuat tempahan makan malam untuk menyambut ulang tahun perkahwinan mereka dan merancang bercuti inap supaya mereka dapat meluangkan masa dengan cucu-cucu," kata Encik Haikel.
Esoknya, Cik Safiah pula tiba di Singapura. Mereka pulang menaiki pesawat berbeza kerana hanya seorang pesakit dapat mengisi ruang pesawat privet itu pada setiap masa.
Ini menambah kepada kos perubatan, ujar Encik Haikel.
Cik Safiah menjalani rawatan di NCID sebelum dipindahkan ke kemudahan masyarakat di D' Resort Downtown East beberapa hari lalu.
Meskipun lega ibu bapa mereka telah kembali ke pangkuan keluarga, mereka berdepan perbelanjaan sekitar $85,000.
Keluarga itu berpaling pada kuasa media sosial dengan meminta saudara-mara dan teman-teman berkongsi kisah Encik Rashid suami isteri dan menjalankan kempen penjanaan awam.
Encik Haikel menubuhkan blog helpabdulrashid.wordpress.com pada Ahad lalu untuk mengumpul sumbangan dana daripada orang awam.
Dalam masa 23 jam, sasaran mereka tercapai.
"Alhamdulillah, kami sekeluarga sangat bersyukur. Tiada apa yang dapat kami katakan melainkan jutaan terima kasih," kata Encik Haikel, yang turut terharu akan doa dan kata-kata semangat daripada orang tidak dikenali sepanjang tempoh sukar itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg