Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Temui Minion di Universal Studios; kunjungi galeri pembelajaran Muzium Seni S’pura

Jul 22, 2024 | 2:53 PM
Pengunjung boleh menari bersama Minion hingga 11 Ogos di Universal Studios Singapore.
Pengunjung boleh menari bersama Minion hingga 11 Ogos di Universal Studios Singapore. - Foto RESORTS WORLD SENTOSA

Jadikan masa bersama keluarga lebih istimewa dengan idea dan kegiatan berikut.

‘A Mega Despicable Summer’ di Universal Studios Singapore

Anda dan anak-anak mungkin pernah bertemu Minion bernama Kevin dan Stuart semasa lawatan ke Universal Studios Singapore sebelum ini.

Kini mereka telah menukar pakaian denim biasa mereka kepada sut mewah.

Lebih ramai Minion juga membanjiri New York Street di taman tema itu kebelakangan ini.

Anda dan anak-anak boleh menari bersama Minion yang suka berseronok ini.

Anda juga boleh menyaksikan mereka dalam pertunjukan pentas ‘Mission: Mega’, apabila mereka cuba sedaya upaya untuk menghalang pencuri daripada mengambil teknologi rahsia Liga Anti-Penjahat.

Program baru itu merupakan sebahagian daripada acara, ‘A Mega Despicable Summer’, yang berlangsung hingga 11 Ogos, sejajar dengan komedi animasi Illumination terbaru berjudul, Despicable Me 4.

Filem yang sedang ditayangkan di pawagam itu memperkenalkan Mega Mel yang menembak laser; Mega Dave yang sangat kuat; Mega Gus yang boleh terbang; dan Mega Jerry yang tidak boleh dimusnahkan.

Wira-wira baru itu berada di taman tema tersebut dalam bentuk patung boya boleh kembung yang menjulang tinggi di New York Street.

Sementara itu, di Lagoon Stage, pengunjung berpeluang bergambar bersama bos Minion, Gru, dan keluarganya.

‘A Mega Despicable Summer’ disertakan dengan tiket masuk ke taman tema biasa.

Tiket, yang disertakan dengan baucar runcit dan makan, berharga daripada $74 untuk orang dewasa dan $59 untuk kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun.

Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman web, www.rwsentosa.com/megasummer.

Rujuk aplikasi Universal Studios Singapore untuk masa tayangan harian.

Galeri Pembelajaran baru Muzium Seni Singapura

Terdapat ruang seni baru untuk anda mengeratkan hubungan bersama anak-anak.

Galeri Pembelajaran Muzium Seni Singapura di Tanjong Pagar Distripark, yang dibuka pada 20 Julai, mahu pengunjung daripada semua peringkat umur mendekati seni kontemporari daripada sudut pandangan kanak-kanak.

Galeri Pembelajaran itu menampilkan lima karya seni artis tempatan dan serantau, termasuk satu yang tidak boleh dilihat tetapi perlu didengar.

Galeri Pembelajaran Muzium Seni Singapura di Tanjong Pagar Distripark dibuka pada 20 Julai.
Galeri Pembelajaran Muzium Seni Singapura di Tanjong Pagar Distripark dibuka pada 20 Julai. - Foto MUZIUM SENI SINGAPURA

Anda boleh mengunjungi pemasangan Black Forest oleh penerima Pingat Budaya, Han Sai Por, yang memaparkan “hutan” arang hancur yang mencerminkan kesan kegiatan manusia ke atas alam semula jadi.

Satu lagi karya seni ialah filem pendek 28 minit yang memenangi anugerah, berjudul Like Shadows Through Leaves, oleh ‘Migrant Ecologies Project’, kolektif yang mengkaji budaya dan alam semula jadi di Asia Tenggara.

Ia mengisahkan antara estet perumahan tertua di Singapura, Tanglin Halt, yang terletak di sebelah bekas landasan kereta api yang kini diubah menjadi koridor hijau.

Setiap karya seni disertakan teks untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Keluarga juga boleh membaca pelbagai buku berkaitan karya seni itu dan emosi yang dibangkitkan di perpustakaan dalam ruang tersebut.

Galeri Pembelajaran itu dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 7 malam.

Masuk percuma untuk semua pengunjung.

Lungsuri pautan, bit.ly/SAM-LearningGallery untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg