Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tenaga diperbaharui: Kos guna boleh dikongsi jika Asean bersatu

See Leng: Negara harus selaras usaha dalam bidang tenaga baru, sediakan kejelasan tentang hala tuju
Jun 15, 2022 | 5:30 AM
BINCANG TENAGA BARU: (Dari kiri) BINCANG TENAGA BARU: (Dari kiri) Moderator, Ketua Editor Bahasa Inggeris, Melayu dan Tamil, SPH Media Trust, dan Editor ST, Encik Warren Fernandez; Menteri Penyelaras bagi Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto (hadir dalam talian); Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; dan Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC, Dr Jeffrey Jaensubhakij di sesi perbincangan panel semalam. - Foto BH oleh LIM YAOHUI - Foto BH oleh LIM YAOHUI
BINCANG TENAGA BARU: (Dari kiri) BINCANG TENAGA BARU: (Dari kiri) Moderator, Ketua Editor Bahasa Inggeris, Melayu dan Tamil, SPH Media Trust, dan Editor ST, Encik Warren Fernandez; Menteri Penyelaras bagi Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto (hadir dalam talian); Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; dan Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC, Dr Jeffrey Jaensubhakij di sesi perbincangan panel semalam. - Foto BH oleh LIM YAOHUI - Foto BH oleh LIM YAOHUI -

KOS mengalihkan penggunaan kepada tenaga diperbaharui boleh diagih dan dikongsi sekiranya negara-negara, terutamanya Asean, bersatu untuk menyelaras usaha mereka dalam bidang tenaga baru itu dan menyediakan kejelasan tentang laluan yang diambil, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Beliau berkata pelan tindakan perubahan iklim - antara topik perbincangan di Sidang Puncak Kumpulan 20 Negara (G20) hujung tahun ini - bergantung pada usaha negara-negara bekerjasama untuk mewujudkan pasaran karbon antarabangsa dan perdagangan tenaga boleh diperbaharui serta membentuk rantaian bekalan baru bagi mempermudahkan perdagangan sedemikian.

Dr Tan, yang juga Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, berkata demikian dalam satu sesi perbincangan panel dengan topik Tenaga Boleh Diperbaharui sebagai Jentera Pertumbuhan Utama dalam Ekonomi Pasca-Covid di Forum Perniagaan Indonesia-Singapura semalam.

Sesi perbincangan panel itu turut disertai Menteri Penyelaras bagi Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto, secara dalam talian, dan Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC, Dr Jeffrey Jaensubhakij.

Dr Tan berkata platform perbincangan pelbagai hala, seperti G20, amat bermanfaat dari segi menyediakan kejelasan agar negara-negara boleh menyelaraskan usaha, melabur atau melakukan inovasi, dan bekerjasama untuk membuahkan hasil yang baik ke arah pengeluaran karbon sifar bersih bersama.

Beliau menambah bahawa negara-negara juga boleh membangunkan bersama sumber tenaga boleh diperbaharui dan projek khidmat pembayaran karbon serta melakukan kajian bersama untuk membangunkan teknologi baru.

"Apabila negara-negara bersatu, apabila kejelasan disediakan dari segi laluan, kosnya boleh diagih dan boleh dikongsi. Begitu juga, oleh sebab kejelasan memberi kepastian, profil penilaian risiko akan berkurangan.

"Dengan itu, anda boleh mendapat keyakinan lebih tinggi daripada sektor privet untuk datang dan melabur," kata Dr Tan.

Semasa sesi itu, Dr Tan turut berkongsi tentang Pelan Hijau Singapura 2030, dengan memberi tumpuan pada tunggak ekonomi hijau.

Ini termasuk usaha pemerintah dalam melaksana dasar dan inisiatif bagi menggalak industri utama memanfaatkan daya usaha dan huraian jimat tenaga dan membantu syarikat merebut peluang dalam ekonomi hijau.

Singapura juga akan membelanjakan $25 bilion di bawah rancangan RIE (Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan) 2025 untuk memanfaatkan sains dan teknologi demi membina sebuah negara lebih berdaya tahan, mampan dan digital.

Sementara itu, Encik Airlangga berkata mereka sedang meneliti beberapa projek dalam bidang tenaga boleh diperbaharui berhubung kerjasama antara Indonesia dengan Singapura.

Indonesia kini sedang membangunkan keupayaan kuasa hidro geoterma, turbin angin dan panel suria, tambah beliau.

Menyentuh tentang sidang puncak G20 hujung tahun ini - di mana Indonesia merupakan Presiden G20 bagi 2022 - Encik Airlangga berkata isu peralihan tenaga antara keutamaan yang akan diketengahkan.

Beliau berkata Indonesia sedang meneliti tiga aspek utama - tenaga adil, tenaga boleh dimampui dan keselamatan tenaga - dalam peralihan ke tenaga boleh diperbaharui.

"Tenaga boleh diperbaharui harus berdaya saing dari segi kos untuk menjadikan ia boleh dimampui. Oleh itu, penjimatan kos yang diperoleh oleh peningkatan tahap pengeluaran adalah penting.

"Terdapat tiga komponen dalam peralihan tenaga adil dan boleh dimampui, iaitu aset dan kemampuan teknologi, pasaran dan pembiayaan hijau," kata beliau.

Menyentuh tentang pembiayaan hijau, Dr Jeffrey pula berkata terdapat dua cara dalam melihat perkara itu.

Pertama ialah mempunyai projek dan pembiayaan standard dan mudah bagi pelabur faham.

Kedua, ialah pembiayaan projek lebih rumit yang memerlukan usahawan Indonesia bekerja rapat dengan penyedia modal berpotensi untuk menstruktur bersama-sama pemerintah cara membiayai sesuatu yang memberi manfaat kepada semua yang terlibat.

"Ada banyak peluang bagi Indonesia dan Singapura bekerjasama dari segi pembiayaan hijau, dalam kedua-duanya, pembiayaan projek sedia ada dan juga yang lebih rumit," kata beliau.

"Apabila negara-negara bersatu, apabila kejelasan disediakan dari segi laluan, kosnya boleh diagih dan boleh dikongsi. Begitu juga, oleh sebab kejelasan memberi kepastian, profil penilaian risiko akan berkurangan. Dengan itu, anda boleh mendapat keyakinan lebih tinggi daripada sektor privet untuk datang dan melabur." - Dr Tan See Leng, Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg