USAHA vaksinasi selesema secara sukarela sedang dirancang untuk 44 agensi awam demi memastikan sebanyak mungkin pekerja dilindungi sebelum musim selesema pada akhir tahun.
Oleh kerana simptom influenza dan Covid-19 boleh serupa, vaksinasi selesema itu bertujuan mengurangkan jumlah mereka yang dikenakan peraturan Covid-19 termasuk langkah seperti pengasingan dan kemasukan ke hospital, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) kepada The Straits Times (ST).
Pemerintah pada 28 Julai lalu meminta tender bagi penyediaan Vaksin Selesema Hemisfera Utara 2020/2021 bagi kakitangan semua kementerian, organ negara dan lembaga berkanun.
Vaksin ini melindungi daripada varian virus berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Sejauh ini, 44 agensi yang mempunyai jumlah kakitangan sekitar 44,000 telah menyatakan minat mereka.
Jumlah sebenar yang mengambil bahagian dalam program tersebut belum tentu.
Jumlah orang yang dijangka mengambil vaksin itu adalah antara 5 peratus dengan 30 peratus - bersamaan kira-kira 14,200 kakitangan, berdasarkan dokumen tender.
Program tersebut buat sementara waktu dijadualkan berlangsung dari Oktober tahun ini ke Mac tahun depan, menurut dokumen yang dilihat ST.
PSD berkata sedang vaksinasi selesema adalah sukarela, ia menggalakkan semua pegawai awam mengambilnya.
"Pengambilan vaksinasi flu yang tinggi boleh membantu mengurangkan lawatan penjagaan kesihatan dan kemasukan ke hospital akibat selesema, dan mengurangkan penularan meluas dan pembentukan kelompok selesema," katanya.
Ia masih belum jelas sekiranya kakitangan akan perlu membayar bagi suntikan tersebut.
Vaksin akan diberikan di lokasi kontraktor yang dipilih atau di tapak agensi awam itu sendiri.
PSD berkata semua kakitangan digalakkan agar melakukan demikian tahun lalu.
Ini merupakan kali pertama PSD telah meminta kontrak sebegitu, untuk lebih memudahkan proses pemerolehan bagi penyediaan dan pemberian vaksin selesema.
"Pengambilan vaksinasi flu yang tinggi boleh membantu mengurangkan lawatan penjagaan kesihatan dan kemasukan ke hospital akibat selesema, dan mengurangkan penularan meluas dan pembentukan kelompok selesema." - Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg