LEBIH 1,000 askar dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Tentera Amerika Syarikat (AS) mengambil bahagian dalam latihan bersama yang dikenali sebagai latihan 'Tiger Balm' 2022, satu latihan operasi bandar bersepadu, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) semalam.
Diadakan di Kemudahan Latihan Bandar Murai (MUTF) dari 6 hingga 17 Jun lalu, latihan peringkat briged itu melibatkan askar daripada Markas Divisyen Singapura/Markas Sense & Strike Keenam, Markas Briged Infantri Singapura Ke-10 dan Batalion Rejimen Infantri Kelima Singapura.
Bagi Tentera AS pula diwakili oleh Pengawal Kebangsaan Tentera Hawaii, Pasukan Tempur Briged 1-2 Stryker dan Batalion Pertama, Rejimen Infantri ke-23.
Kenderaan pengangkut tentera Terrex SAF telah menyertai kenderaan tempur Stryker Tentera AS dalam satu pasukan petugas gabungan.
Mereka disokong oleh pasukan Strike ObserveRs Mission1 (Storm) SAF dan Pasukan Sokongan Tembakan Tentera AS2 (Fist).
Komander Bahagian Keenam Singapura, Kolonel Adrian Teng, berkata:
"Latihan 'Tiger Balm' adalah simbolik bagi hubungan istimewa yang dibina atas kepentingan dan nilai bersama yang dikongsi antara tentera kami.
"Melalui lebih daripada empat dekad pertukaran, kami telah belajar daripada satu sama lain, dan meningkatkan profesionalisme kami... Ini berlaku menerusi sikap saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.
"Resolusi kami yang dikongsi untuk menganjurkan Latihan 'Tiger Balm' 2022 secara fizikal adalah ungkapan yang tepat bagi kekuatan dan daya tahan hubungan dua hala ini".
Pertama kali diadakan pada 1981, Latihan 'Tiger Balm' adalah latihan dua hala yang paling lama dijalankan antara kedua-dua tentera.
Ini adalah kali pertama diadakan secara fizikal sejak pandemik Covid-19. Edisi latihan secara fizikal sebelum ini diadakan pada 2019 yang melibatkan lebih 700 kakitangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg