TENTERA Singapura dan Indonesia telah berjaya menjalankan Latihan Safkar Indopura (XSI) edisi ke-34 yang berlangsung mulai 8 Oktober lalu di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia.
Ketua Tentera SAF, Mejar-Jeneral (MG) David Neo, dan Ketua Staf TNI-AD (KASAD), Jeneral Dudung Abdurachman, bersama-sama merasmikan majlis penutupan latihan dua hala itu awal semalam, menurut satu kenyataan Kementerian Pertahanan.
Latihan tahun ini melibatkan lebih 130 askar dari Singapura dan 140 askar Indonesia.
Antara lain, latihan itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak tentera untuk mengukuhkan persefahaman bersama dan memperdalam ikatan sesama anggota tentera melalui pertukaran profesional dalam operasi bandar dan proses perancangan.
Latihan diakhiri dengan latihan perancangan gabungan briged dan satu latihan peringkat batalion di Kawasan Latihan Dawuan.
Berucap di majlis penutup itu, Jeneral Neo memuji kejayaan menjalankan latihan itu dan menekankan bahawa latihan itu menyediakan wadah berharga untuk meningkatkan profesionalisme kedua-dua tentera dan mengukuhkan persefahaman dan persahabatan di kalangan anggota tentera.
"Sejak 33 tahun lalu, latihan Safkar Indopura menyaksikan penyertaan beberapa generasi tentera SAF dan TNI AD.
"Hanya melalui interaksi dua hala beginilah kedua-dua tentera darat mendapat manfaat besar daripada sikap saling mempercayai, mengukuhkan kerjasama profesional tetapi yang paling penting, membina persahabatan kukuh.
"Saya yakin persahabatan dan keakraban yang terjalin akan terus berkekalan dan diingati bagi tahun-tahun akan datang," kata Jeneral Neo.
Kali pertama dijalankan pada 1989, Latihan Safkar Indopura menggariskan hubungan pertahanan erat dan lama antara Singapura dengan Indonesia.
Selain latihan dua hala, kedua-dua tentera juga terlibat dalam pelbagai aktiviti dua hala, termasuk sesi latihan, lawatan, pertukaran profesional dan kehadiran bersama di pelbagai kursus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg