Masyarakat pelbagai budaya mesti dijalin secara aktif kerana nilai yang dikongsi bersama dan kepercayaan terhadap masa depan yang serupa tidak wujud secara semula jadi, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Dalam ucapannya semasa Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City pada 24 Jun, Tuan Presiden berkata:
“Kita perlu menenun fabrik masyarakat yang berbeza untuk mengekalkan kepelbagaian budaya dan menjadikan perpaduan berdaya tahan.
“Itulah fabrik masyarakat yang perlu kita tenun. Ia memerlukan... peluang untuk interaksi yang diwujudkan.
“Dan ia juga memerlukan kita membangunkan langkah perlindungan yang wajar, untuk mengelak ekstremisme dan polarisasi, sambil membenarkan dan menggalakkan perbezaan pandangan.”
Untuk melakukan demikian, pendidikan adalah asasnya.
Bahkan, Tuan Presiden menganggap pendidikan sebagai “kaedah paling berkuasa yang ada dalam menyatupadukan manusia”.
Pendidikan, lebih-lebih lagi dalam sistem persekolahan awam, membolehkan penyatuan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira kumpulan etnik mahupun latar belakang sosial mereka.
“Dan sama pentingnya dengan percampuran sosial ialah keberkesanan pendidikan dalam meningkatkan individu daripada semua latar belakang.
“Orang ramai mesti melihat bahawa mereka boleh maju atas merit sendiri, dengan sokongan yang diperlukan daripada skim pemerintah dan masyarakat bagi mereka yang bermula dari tempat yang lebih rendah.
“Sistem pendidikan mesti berkesan dalam meningkatkan setiap individu dan setiap kumpulan,” ujar beliau.
Selain itu, reka bentuk bandar juga memainkan peranan penting dalam memupuk masyarakat berbilang budaya yang bersatu.
Ini kerana ia dapat mengelakkan kawasan etnik atau yang dibentuk berdasarkan latar belakang sosial.
Reka bentuk bandar bukan terhad kepada perumahan sahaja. Ia juga termasuk kemudahan untuk riadah, pembelajaran, interaksi dan kegiatan yang dapat menyatukan orang ramai, kata Tuan Presiden.
Ketiga, pengawalan media dan media sosial.
Masalah algoritma media sosial merupakan “salah satu masalah paling kompleks yang dihadapi oleh demokrasi”.
Menjelaskan, Tuan Presiden berkata kebanyakan media sosial kini dibentuk menggunakan algoritma yang dibentuk oleh syarikat teknologi besar, yang mempunyai kesan polarisasi.
“Rakyat dalam kebanyakan masyarakat tidak lagi berkongsi realiti bersama, rangka kerja fakta bersama di mana mereka membentuk pandangan yang berbeza.
“Kita tidak lagi hidup di dunia itu kerana semakin banyak ruang media yang terbahagi dan algoritma media sosial membawa kepada masyarakat awam dan politik yang lebih berpecah belah,” ujarnya.
Media berita yang bertauliah juga mesti bertindak balas terhadap cabaran landskap yang berpecah belah.
“Jika mereka boleh menunjukkan bahawa mereka mempunyai jenama kewartawanan yang dibina berdasarkan ketepatan dan ketelusan; jika mereka boleh menunjukkan bahawa mereka melaporkan dunia sebagaimana adanya.
“Memisahkan berita daripada pendapat; dan jika mereka boleh menunjukkan bahawa apabila mereka menerbitkan pendapat, mereka menyediakan perspektif yang berbeza untuk orang ramai menilai... ia akan membantu memulihkan kepercayaan dan nilai jenama mereka,” kata beliau.
Tuan Presiden turut menekankan kepentingan membangunkan budaya saling menghormati serta perpaduan.
“Ia memerlukan semua orang untuk mengambil bahagian. Ia bukan sekadar kerja untuk pemerintah, malah memerlukan masyarakat sivil, pendidik, media, pemimpin agama dan masyarakat serta individu juga.
“Kita mesti berhasrat untuk menjadi masyarakat yang menghormati. Ia merupakan tonggak kepelbagaian budaya dan perpaduan sosial. Menghormati semua adalah sumber perpaduan,” tambah Tuan Presiden.
Ini merupakan kali ketiga ICCS diadakan.
Berlangsung dari 24 hingga 26 Jun 2025, ICCS 2025 mengumpulkan seramai 1,000 pemimpin pemikiran global, penggubal dasar, pengamal masyarakat dan pemimpin muda dari lebih 50 negara untuk saling bertukar idea.
Mereka juga akan membangunkan penyelesaian bagi memupuk masyarakat pelbagai budaya yang bersatu padu dan berdaya tahan.
“
Dan sama pentingnya dengan percampuran sosial ialah keberkesanan pendidikan dalam meningkatkan individu daripada semua latar belakang. Orang ramai mesti melihat bahawa mereka boleh maju atas merit sendiri, dengan sokongan yang diperlukan daripada skim pemerintah dan masyarakat bagi mereka yang bermula dari tempat yang lebih rendah. Sistem pendidikan mesti berkesan dalam meningkatkan setiap individu dan setiap kumpulan.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg