Bahang Piala Dunia 2026 semakin terasa apabila SPH Media menganjurkan Fiesta Bola Sepak 2026 buat julung-julung kalinya pada 7 Jun.

Pertandingan bola sepak korporat ini bertujuan mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja serta membuka ruang rangkaian baharu merentasi pelbagai industri.

Diadakan di Pusat Latihan Lion City Sailors di Mattar Road yang terletak di kawasan Aljunied, acara tersebut menghimpunkan lebih 150 peserta daripada 18 syarikat.

Sebanyak 22 pasukan berentap dalam suasana penuh semangat untuk membawa pulang hadiah wang tunai utama bernilai $5,000.

Walaupun langit diselubungi awan gelap dan hujan renyai-renyai turun pada pertengahan acara, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat para pemain.

Sorakan daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan penyokong yang memenuhi tepi padang terus menyemarakkan suasana, menjadikan gelanggang seolah-olah mini Piala Dunia.

Turut menyertai perlawanan bola sepak itu ialah kakitangan pasukan Berita Harian (BH), yang turun padang bagi menguji kemahiran dan memupuk semangat berpasukan.