Tiada yang mustahil dalam mengecapi cita-cita, berbekal semangat untuk terus memperkasa diri dengan ilmu dan kemahiran.
Dari hanya nyala rasa pada hobi menerbangkan dron, Encik Danish Isfahan Kamis kini membina kerjaya sebagai juruterbang dron sepenuh masa di Quantified Energy Labs atau QE LABS.
Dalam tugasnya, Encik Danish, 29 tahun, berpeluang menebar sayap ke luar negara dengan menguruskan operasi dron di Korea Selatan, Taiwan dan Vietnam.
Antara amanahnya kini ialah membantu pasukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) dalam mereka bentuk komponen baru yang digunakan dron, serta memastikan semua dron syarikat itu dalam keadaan baik.
Lulusan Diploma Sekitaran Binaan Mampan daripada Politeknik Republic (RP) itu berkata:
“Sewaktu mengikuti pengajian di RP, ada beberapa modul berkaitan dron yang saya ambil. Ini membuatkan saya lebih ingin tahu, lantas mencari maklumat di Internet dan menemukan keterangan tentang pelbagai jenis dron.”
Semasa beliau meneroka beberapa syarikat untuk memenuhi program latihan amali selama enam bulan, mentornya telah memperkenalkan peluang latihan amali di QE LABS, sebuah syarikat teknologi mendalam yang berpusat di Singapura.
Dalam latihan amalinya di QE LABS, syarikat tersebut menawarkan latihan amali dengan peluang pekerjaan tetap serta tajaan untuk kursus lesen juruterbang pesawat tanpa pemandu (UAPL) Kelas A. Sejak itulah berputik rasa cinta mendalami kerjaya juruterbang dron.
Ibu bapa Encik Danish, awalnya, ragu-ragu dengan minatnya terhadap dron tetapi lama-kelamaan akur inilah bidang kerjaya berpotensi besar dalam era baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg