Mereka yang mengambil penerbangan bersama Jetstar Asia kini berpeluang beramal dengan membeli produk yang direka khas oleh golongan berkeperluan khas dari pusat pendidikan My Inspiring Journey (MIJ) Hub.
Mulai 1 Ogos hingga 30 Oktober ini, orang ramai akan dapat membeli satu bungkusan ‘Peek-a-Box’ bernilai $10 bagi kanak-kanak, yang terdiri daripada snek Iced Gems, krayon berbentuk menarik yang dihasilkan lulusan MIJ Hub serta kertas mewarna.
Mulai 1 November 2023 hingga 31 Januari 2024, orang ramai boleh membeli balang berisi biskut ‘My D-I-Y Cookie Jar’ bagi harga $14, termasuk biskut coklat garam laut serta pelekat yang dihasilkan pelajar MIJ Hub untuk dilekatkan ke balang biskut itu.
Sebanyak $2 daripada setiap pembelian akan disalurkan kepada MIJ Hub, menurut kenyataan Jetstar Asia.
Usaha itu merupakan kerjasama antara MIJ Hub, yang memperkasa individu berkeperluan khas, bersama Jetstar Asia dan SATS.
Produk yang dipasarkan dalam penerbangan merupakan hasil kerja tangan individu berkeperluan khas yang telah tamat menjalani Program Dewasa Kesediaan Bekerja (WRAP) MIJ Hub dan kini bekerja di Ashraf’s Cafe - perusahaan sosial yang diurus MIJ Hub.
Pengasas MIJ Hub, Cik Faraliza Zainal, berkata mereka berterima kasih atas kerjasama ini.
“Sama-sama, kami telah melakarkan perjalanan inklusif dan penuh belas kasihan, mendatangkan kesan positif ke atas kehidupan orang yang kami bantu,” kata Cik Faraliza.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg