SEBAGAI seorang penggemar pencuci mulut, Cik Shareefa Nurashikin memerhatikan tidak banyak kafe halal di Singapura yang membuat aiskrim gelato sendiri.
Banyak kafe sedia ada mungkin mendapatkan aiskrim itu daripada pembekal lain, yang bermakna kebanyakan perisanya mungkin yang biasa didapati.
"Apabila anda membuat gelato anda sendiri, anda boleh cuba mencipta pelbagai macam perisa.
"Kami terdorong mengisi jurang dalam pasaran bagi gelato halal yang dibuat menggunakan daya kreatif kami sendiri," ujar Cik Shareefa, 25 tahun.
Tahun lalu, beliau mengambil langkah menubuhkan perniagaan yang digelar Motor Folks, menjual aiskrim gelato dengan perisa unik seperti teh tarik, kopi ais dan roti kaya.
Beliau menjual gelato itu menerusi tempahan dalam talian, acara 'pop up' dan gerai 'live station'.
Walaupun perniagaan itu baru setahun jagung, banyak cabaran yang telah dilaluinya.
Pernah sekali, penyejuk beku yang digunakan untuk mempamerkan produknya rosak sehari sebelum acara yang bakal disertainya.
Cik Shareefa menghubungi beberapa pembekal dan cuba mencari alternatif di dalam talian, dan akhirnya mendapat penyejuk beku terpakai yang harganya lebih mahal daripada penyejuknya sebelum ini.
"Saya belajar bersiap sedia bagi perkara yang tidak dijangka," ujar Cik Shareefa, yang sudah berumah tangga.
Sejak setahun lalu, beliau juga menghadapi cabaran mencari kedai fizikal yang sesuai untuk perniagaan itu, dalam pasaran sewa yang meningkat sekarang.
Cik Shareefa, lulusan Politeknik Temasek dalam Reka Bentuk dan Penjualan Pakaian, merupakan antara 100 usahawan belia yang mengongsi pengalaman mereka dengan belia lain menerusi inisiatif Sandbox Somerset anjuran syarikat Invade dengan kerjasama Pejabat Kawasan Somerset di bawah Majlis Kebangsaan Belia (NYC).
Beliau gembira melihat belia memulakan perniagaan sendiri pada usia yang muda, dengan ramai yang memanfaatkan media sosial untuk mengembangkan perniagaan mereka.
"Media sosial ada baik dan buruknya. Saya melihat kededua komen positif dan negatif di platform usahawan yang baru.
"Mereka harus belajar untuk tidak mengendahkan orang yang hanya tahu mengkritik, dan terus merebut peluang yang ada," ujar Cik Shareefa.
Beliau berkata semangat keusahawanan boleh dipupuk pada usia muda, dan ini boleh dilakukan dengan mengundang pengasas perniagaan ke sekolah rendah dan menengah untuk mencetus inspirasi dalam kalangan belia.
GEMBIRA LIHAT BELIA MULAKAN PERNIAGAAN SENDIRI, RAMAI MANFAATKAN MEDIA SOSIAL UNTUK KEMBANGKAN NIAGA
"Media sosial ada baik dan buruknya. Saya melihat kededua komen positif dan negatif di platform usahawan yang baru.
Mereka harus belajar untuk tidak mengendahkan orang yang hanya tahu mengkritik, dan terus merebut peluang yang ada."
- Cik Shareefa Nurashikin, 25 tahun, yang menubuhkan perniagaan yang digelar Motor Folks, menjual aiskrim gelato dengan perisa unik seperti teh tarik, kopi ais dan roti kaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg