PARA pembaca akhbar ini kini boleh melihat terjemahan dari Bahasa Melayu ke Inggeris secara automatik hanya dengan menandai (highlight) teks yang dibaca dalam laporan dalam talian Berita Harian (BH).
Kemudahan ini yang diperkenal hari ini (17 Jun) boleh digunakan pada versi dekstop dan alat mudah alih laman web BH.
Idea bagi kemudahan terjemahan itu dihasilkan kumpulan Produk Media Digital Singapore Press Holding (SPH) dan SPHTech yang menguruskan laman web BH.
Kata pengurus kanan produk, Encik Azhar Kasman: "Apabila kami berbual dengan pembaca BH yang kebanyakannya boleh berdwibahasa, ramai memberitahu kami bahawa mereka mendapati agak sukar memahami beberapa perkataan dan frasa disebabkan penggunaan standard Bahasa Melayu yang lebih tinggi dalam laporan-laporan kami."
Kemudahan terjemahan itu menggunakan aplikasi pengaturcaraan antara muka Google Translate, lapor The Straits Times.
Penolong kepada editor BH, Encik Nazri Hadi Saparin, berkata kemudahan itu sebahagian peranan akhbar ini melestarikan dan mengembangkan penggunaan bahasa Melayu di Singapura.
"Alat ini juga akan berguna sedang kami meningkatkan jangkauan dan keterlibatan kami dengan pembaca muda secara dalam talian melalui inisiatif sekolah BH," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg