SUASANA sunyi sepi menyelubungi beberapa terminal feri di sini meskipun Singapura telah melangkah masuk ke fasa ketiga pembukaannya.
Dengan sekatan ke atas perjalanan antarabangsa yang masih berkuatkuasa disebabkan pandemik Covid-19, terminal feri yang sebelum ini menampung bilangan penumpang yang tidak putus antara Singapura dengan pulau-pulau Indonesia seperti Batam dan Tanjung Pinang kini lengang.
Ini menjejas teruk perniagaan di terminal feri seperti di Tanah Merah dan Pusat Harbourfront, dengan ada yang melaporkan kemerosotan hampir 80 peratus.
Dengan ketiadaaan pelancong buat masa kini, biasanya hanya satu hingga tiga feri beroperasi di terminal-terminal tersebut setiap hari membawa penumpang seperti pekerja dari Indonesia yang bekerja di Singapura.
Semasa Berita Harian mengunjungi Terminal Feri Tanah Merah baru-baru ini, suasana kelihatan lengang dengan beberapa kedai, termasuk kedai kopi di kawasan berlepas dan kedai menjual barangan sukan, masih ditutup.
Beberapa kedai di sana yang masih beroperasi pula kebanyakannya dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada pekerja di kawasan itu, menurut salah seorang pekerja Anua Group Money Exchangers, Encik Sek Bareeth.
"Tiada orang datang ke sini sejak kebelakangan ini. Pelanggan yang paling ramai kami terima sejak kedai ini dibuka semula... 20 orang sahaja.
"Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada pekerja di terminal ini dan juga pekerja pembinaan. yang ada kalanya singgah di sini," katanya.
Menurut Encik Bareeth, 29 tahun, jualan di kedai tersebut hanya boleh mencecah $100 sehari, sekitar 10 peratus jualan yang dibuat sebelum tempoh pemutus litar (CB).
Pemilik kedai kopi Coffee and Snacks Temptation, Encik Abdul Malik Abdul Rahim, berkata beliau menerima kurang 50 pelanggan sehari yang kebanyakannya terdiri daripada pekerja di sana dan mereka yang berbasikal di kawasan itu.
Kedai kopi yang dikendalikannya itu menjual makanan dan minuman seperti mi rebus, biryani dan prata.
"Sebelum pandemik ini bermula, kami biasanya akan terima antara 300 hingga 400 pelanggan sehari, tapi sekarang kurang 60 pelanggan walaupun pada hujung minggu.
"Buat masa ini kami hanya nantikan masa bila pelancong boleh datang semula," katanya. `
Sementara itu, pemilik Umi's Spices Nasi Padang di Terminal Feri Harbourfront, Cik Normah Mohd, berkata perniagaannya mengalami kerugian sebanyak 50 peratus berbanding sebelum Covid-19.
Katanya, meskipun Singapura sudah beralih ke Fasa Tiga, beliau masih belum melihat perbezaan yang banyak memandangkan sempadan masih ditutup.
"Saya harap ada lebih subsidi untuk pembayaran sewa kerana saya kini perlu bayar sewa penuh," ujarnya.
Turut terjejas adalah khidmat pertukaran wang yang ditawarkan IaKABa Xchange, dan pemiliknya, Encik Abu Karim Ismail, menggambarkan suasana di sana sunyi sepi dengan ketiadaan pelancong yang ulang-alik menaiki feri.
Malah, beliau berkata banyak peniaga yang menawarkan khidmat pertukaran wang seperti beliau terpaksa mengambil pekerjaan kedua untuk bertahan.
"Kami harap feri boleh diteruskan semula seperti biasa dan sempadan dibuka secepat mungkin," katanya.
Laporan lanjut:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg