Menerusi tayangan klip video dalam kelas pengajian Islam beliau, pelajar Andalus Muhammad Aidan Yusuf Mohammad Shah Ronny, 12 tahun, semakin tertarik mendalami kisah peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah dan tamadun Islam.
Minat itu bertambah apabila gurunya mengadakan kuiz interaktif, menjadikan pembelajaran sejarah Islam lebih menarik.
Hasil daripada sesi pembelajaran tersebut, pelajar Kelas Bimbingan Kanak-Kanak 5 (KBK5) itu terdorong mencari maklumat lanjut mengenai peristiwa tersebut, antaranya menerusi laman web dan laman video YouTube.
Selain itu, Muhammad Aidan Yusuf tertarik akan kandungan digital yang terdapat menerusi wadah dalam talian E-Pendidikan Andalus.
“Permainan yang ada dalam wadah E-Pendidikan Andalus mencabar minda. Sebagai contoh, kami akan menonton video pendek atau animasi sebelum menjawab soalan seperti jumlah rukun Islam dan apakah rukun-rukun tersebut,” kata Muhammad Aidan Yusuf.
Beliau mempunyai tiga adik-beradik yang turut menyertai program pendidikan Islam di Andalus – pada peringkat Diploma Pengajian Islam (DPI), Kelas Bimbingan Kanak-kanak 1 (KBK1) dan Kelas Bimbingan Nurseri (KBN).
Muhammad Aidan Yusuf adalah antara 14,000 pelajar Andalus yang meraih manfaat daripada usaha transformasi digital menyeluruh pusat pendidikan Islam itu.
Usaha transformasi digital Andalus bermula pada 2015 di bawah inisiatif awal yang dikenali sebagai Business and IT Transformation (BIT).
Terkini dan susulan dari transformasi digital itu, asatizah di Andalus mengambil beberapa inisiatif untuk menguasai platform digital lain seperti Kahoot, Quizizz, dan Learning Management System (LMS) Andalus. Mereka kini mengintegrasikan platform ini dalam perancangan pengajaran harian, kata seorang guru kanan Andalus, Ustaz Khaniful Irsyad, 42 tahun.
“Pada dasarnya, pengajaran di Andalus menggunakan kaedah dua hala dan penggunaan teknologi memberi peluang kepada kami untuk menghasilkan pengalaman pembelajaran lebih hidup dan menarik,” ujar Ustaz Khaniful.
Sebagai contoh, aktiviti kuiz interaktif melalui Kahoot, Quizizz serta Word Wall dapat membantu pelajar memahami konsep atau topik dengan lebih pantas berbanding sekadar bersyarah, selain menjadikan kelas lebih dinamik.
Bahan visual yang terdapat dalam slaid pengajaran dan video pendek membantu meningkatkan kefahaman dan mengekalkan fokus pelajar.
Selain itu, penggunaan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) Andalus membolehkan pelajar melakukan latihan kendiri untuk mengukuhkan kefahaman yang diperolehi semasa kelas dijalankan.
Katanya lagi, pendigitalan juga bukan hanya menjadikan hubungan antara guru dan pelajar lebih interaktif, malah sesama pelajar itu sendiri.
“Transformasi digital ini menjadikan pendekatan kami dalam pengajaran lebih sistematik dan responsif terhadap keperluan pembelajaran pelajar pada era moden kini,” kata beliau.
Ini terbukti melalui inisiatif Ustaz Khaniful yang meminta para pelajar menengahnya menghasilkan projek digital simulasi pelaksanaan umrah dengan memanfaatkan aplikasi penyuntingan video dan foto seperti CapCut.
“Walaupun topik ini bukan pengalaman yang biasa mereka lalui seperti solat atau puasa, hasil projek digital mereka luar biasa. Selain pelajar mampu menjelaskan topik berkenaan dengan baik melalui video yang mereka hasilkan, saya juga nampak kerjasama di antara mereka begitu rancak dan semakin mengeratkan hubungan sesama mereka,” kata Ustaz Khaniful.
Bagaimanapun, pelajar masih berpeluang mengikuti pembelajaran di luar darjah. Misalnya, pelajar Kelas Bimbingan Remaja (KBR) Andalus cawangan Teck Whye, Choa Chu Kang dan Bukit Batok Satu telah mempelajari topik tayamum di kawasan Limbang, Bukit Panjang, pada November.
Seorang lagi guru kanan Andalus, Ustazah Aida Adriana Sabarudin, 30 tahun, melahirkan pendapat bagaimana pendigitalan membantu memelihara hubungan baik antara asatizah, pelajar dan waris melalui komunikasi lebih cepat, mudah dan interaktif.
“Asatizah boleh berkongsi tugasan, penilaian pelajar, maklum balas dan video pembelajaran melalui platform digital, manakala waris dapat memantau perkembangan anak mereka secara lebih dekat,” jelas Ustazah Aida.
Katanya lagi, secara umum, waris memberikan maklum balas positif terhadap penggunaan teknologi dalam pembelajaran agama. Ada juga yang menyatakan bahawa bahan multimedia seperti animasi, rakaman bacaan dan kuiz interaktif menjadikan pelajaran lebih menarik dan memudahkan anak mereka memahami sesuatu topik.
Selain itu, dengan sokongan dan kerjasama daripada waris pelajar, Andalus berjaya melaksanakan pengajian dalam talian melalui platform Zoom, termasuk bagi peringkat prasekolah. Inisiatif ini bertujuan mempelbagai kaedah pengajaran, jelas Ustaz Khaniful.
“Kerjasama dalam penggunaan kemudahan seperti aplikasi Zoom turut mendapat sambutan positif daripada pelajar dewasa dalam program-program Al-Quran. Mereka berpeluang terus belajar sepanjang hayat tanpa halangan usia atau kekangan fizikal,” ujar beliau.
Bagi memperkasa asatizah dengan pengetahuan berteras teknologi, mereka perlu menjalani latihan digital bagi membantu mereka menyediakan bahan multimedia dan berkomunikasi lebih efektif dengan pelajar serta waris, menurut Ustazah Aida.
“Dengan kemahiran ini juga, penyampaian menjadi lebih menarik, profesional dan relevan dengan dunia pelajar hari ini. Tanpa latihan, potensi transformasi digital tidak mungkin tercapai sepenuhnya,” tambah beliau.
Sebagai sebuah institusi pendidikan Islam yang sentiasa berpandangan jauh, Andalus membuktikan bahawa pendidikan tradisional boleh digabungkan dengan teknologi terkini secara harmoni.
“Masyarakat Islam dapat mengimbangi teknologi dan nilai-nilai tradisional dengan menggunakan teknologi secara beretika, memilih kandungan sahih, serta menerapkan adab dan prinsip Islam dalam setiap aspek penggunaannya. Teknologi seharusnya menjadi alat untuk memajukan ummah, sementara nilai-nilai Islam terus menjadi panduan dalam cara kita berinteraksi dan menuntut ilmu,” kata Ustazah Aida.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg